KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus membawa keluar USNO daripada gabungan itu.
Peletakan jawatan itu, termasuk semua jawatan berkaitan kerajaan dinyatakan sendiri oleh Pandikar Amin kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS dalam satu pertemuan pada Selasa, 21 April lalu.
Perkembangan itu diumumkan menerusi satu kenyataan bertajuk 'Salam Terakhir: USNO Ucap Selamat Tinggal GRS' yang dimuat naik di akaun Facebook Warta USNO, malam tadi.
Kenyataan itu menyebut keputusan dibuat bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu disahut secara sebulat suara dalam Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO pada Rabu, sekali gus keluar daripada gabungan GRS.
"Antara justifikasi awal keputusan USNO ini disebabkan sudah tidak wujudnya keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan, khususnya selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
"USNO juga mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi lokal Sabah dan akan komited dalam proses semak dan imbang," kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, USNO turut mengucapkan terima kasih kepada Hajiji selaku Pengerusi GRS dan rakan komponen GRS atas kebersamaan sebelum ini.
"USNO berjanji akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat yang termarginalisasi," katanya.
USNO adalah antara parti pengasas GRS bersama Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan BERSATU Sabah selepas berjaya menubuhkan kerajaan pada September 2020 menerusi kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
BERSATU Sabah kemudian digantikan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) selepas semua pemimpinnya yang diketuai Hajiji meninggalkan BERSATU dan mengambil alih Gagasan Rakyat pada awal 2023.
Selepas itu GRS berkembang menjadi gabungan politik tempatan Sabah sepenuhnya dan turut menerima beberapa lagi parti untuk menyertainya iaitu Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), menjadikan gabungan itu dianggotai lapan parti.
Bagaimanapun, menjelang PRN17 pada November tahun lalu, STAR dan SAPP keluar daripada gabungan itu kerana mahu bertanding atas logo sendiri dan kini USNO yang terbaharu mengikut langkah mereka.
Berikutan itu, GRS kini hanya dianggotai lima parti iaitu Gagasan Rakyat, PBS, PCS, LDP dan PHRS.
























