BH Online
Ringkasan Berita

Cuaca panas, penternak rugi ikan dalam sangkar mati

BESUT: Beberapa penternak ikan sangkar mendakwa menanggung kerugian hampir RM20,000 selepas lebih 5,000 ekor tilapia mati ekoran cuaca panas sejak awal tahun ini.
Cuaca panas, penternak rugi ikan dalam sangkar mati

Penternak ikan sangkar, Mohd Sayuti Muda, 40, menunjukkan ikan tilapia yang mati disebabkan musim panas di kolam ternakan ikan sangkar di Sungai Cawat, Kampung Seri Kemunting, - Foto NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

BESUT: Beberapa penternak ikan sangkar mendakwa menanggung kerugian hampir RM20,000 selepas lebih 5,000 ekor tilapia mati ekoran cuaca panas sejak awal tahun ini.

Penternak ikan sangkar, Yuzairie Mat Jusoh, 44, berkata, seramai 15 penternak ikan mengusahakan 350 sangkar dengan empat jenis spesis iaitu tilapia, siakap, siakap merah serta kerapu di kolam ternakan ikan sangkar di Sungai Cawat, Kampung Seri Kemunting, Kuala Besut.

Katanya, spesis ikan tilapia yang paling terjejas dan mati dalam jumlah banyak disebabkan tekanan haba cuaca panas, peningkatan suhu kolam serta air masin melebihi air tawar.

"Saya sendiri berdepan kerugian apabila lebih 3,000 ikan tilapia mati secara berperingkat dan terpaksa dibuang hampir setiap hari.

"Benih ikan tilapia ini dimasukkan ke dalam kolam awal tahun ini selepas musim banjir tamat namun saya tidak sangka selepas itu cuaca panas berterusan sejak Ramadan sehingga sekarang.

"Ikan tilapia ini dibela secara sampingan untuk memenuhi pasaran runcit dan dijual dengan harga RM 11 bagi satu kilogram yang mempunyai tiga hingga empat ekor ikan," katanya ketika ditemui di kolam ternakan ikan sangkar, Kampung Seri Kemunting, Kuala Besut, di sini, hari ini.

Katanya, buat masa sekarang dia mengambil langkah untuk membuang ikan mati setiap hari supaya tidak menjejaskan kualiti ikan yang masih hidup.

Sementara itu, seorang lagi penternak ikan, Mohd Sayuti Muda, 40, berkata, dia mula mengusahakan kolam ikan sangkar sejak 20 tahun lalu.

"Saya mempunyai 12 sangkar ikan di sini dengan mengusahakan ikan tilapia, siakap serta siakap merah.

"Selain tilapia mati disebabkan cuaca panas, lebih 200 ikan siakap pula mati terkena parasit dan sudah dihantar ke Jabatan Perikanan untuk tujuan siasatan," katanya.

Katanya, mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai risiko termasuk cabaran cuaca tidak menentu seperti musim panas, musim banjir serta penyakit boleh menjejaskan hasil pulangan ternakan ikan.

"Walaupun begitu saya tetap meneruskan bidang ini sejak dulu kerana minat serta mahu menambah pendapatan keluarga," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan