BH Online
Ringkasan Berita

Hamzah umum 'rumah baharu' Mei, dakwa keahlian cecah ratusan ribu

LARUT: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dijangka mengumumkan ‘rumah baharu’ pada Mei depan sebagai parti politik dirintis selepas beliau dipecat daripada BERSATU pada Februari lalu.
Hamzah umum 'rumah baharu' Mei, dakwa keahlian cecah ratusan ribu

Hamzah (kanan) beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Tahlil dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Bukit Bertam, hari ini. - STR/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

LARUT: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dijangka mengumumkan 'rumah baharu' pada Mei depan sebagai parti politik dirintis selepas beliau dipecat daripada BERSATU pada Februari lalu.

Bekas Timbalan Presiden BERSATU itu sekali gus mendakwa 'rumah baharu' terbabit bakal mempunyai kekuatan besar dengan jumlah keahlian mencecah ratusan ribu orang.

Bagaimanapun, Hamzah berkata, perincian mengenainya belum dapat didedahkan kerana perbincangan berkaitan masih giat dijalankan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), selain nama rasmi entiti itu masih belum dimuktamadkan.

"Buat masa ini, perbincangan sedang giat dijalankan dengan ROS untuk memastikan segala prosedur dipatuhi sebelum sebarang pengumuman dibuat, sekali gus mengelakkan timbul isu teknikal atau perundangan pada masa depan.

"Setakat ini, penyusunan pada peringkat bahagian berjalan lancar dengan lebih 130 bahagian sudah mengemukakan senarai kepimpinan.

"Jumlah keseluruhan dijangka mencecah sekitar 150 bahagian dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita pada Majlis Tahlil dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Bukit Bertam, Batu Kurau di sini, hari ini.

Hamzah berkata, beliau mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengulas lanjut mengenai struktur dan hala tuju parti itu, memandangkan sensitiviti politik semasa serta kemungkinan timbul pelbagai persepsi negatif daripada pihak tertentu.

Mengulas peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Pembangkang pula, Hamzah berkata, perkara itu tidak wajar diperbesarkan kerana ia berkait rapat dengan kedudukannya selepas dipecat daripada BERSATU.

Beliau berkata, jawatan Ketua Pembangkang bukan milik mutlak mana-mana individu, sebaliknya ditentukan oleh kekuatan sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

"Dalam blok pembangkang kini, ada tiga kelompok utama membabitkan PAS, BERSATU dan Bebas.

"Ahli Parlimen daripada ketiga-tiga blok inilah yang akan menentukan siapa Ketua Pembangkang seterusnya sebelum Parlimen bersidang semula nanti," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan