KOTA KINABALU: Inisiatif kerajaan Pusat melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyerahkan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion kepada kerajaan Sabah diyakini mampu mempercepat usaha menyelesaikan isu bekalan air di negeri itu.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop, berkata 83 projek dibiayai bawah program itu disasar mengurangkan masalah air yang sekian lama membelenggu rakyat Sabah, terutama luar bandar.
Katanya, langkah diambil KKDW menyerahkan pelaksanaan projek itu kepada kerajaan negeri juga tindakan tepat bagi membolehkan keputusan dibuat dengan pantas.
"Isu bekalan air di Sabah bukan sahaja bersifat teknikal, malah melibatkan cabaran struktur dan faktor geografi yang unik.
"Justeru, penyerahan kuasa pelaksanaan kepada kerajaan negeri langkah tepat kerana membolehkan keputusan dibuat lebih pantas, bersasar dan selari realiti serta keperluan sebenar di lapangan," katanya melalui kenyataan.
Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung penyerahan pelaksanaan projek BALB kepada kerajaan Sabah.
Samasuddin berkata, langkah itu juga bertepatan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menekankan kepentingan autonomi Sabah dalam mengurus hal ehwal pembangunan, khususnya berkaitan kemudahan asas dan kesejahteraan rakyat.
"UMNO Sabah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pendekatan yang menunjukkan kepercayaan tinggi terhadap keupayaan kerajaan negeri dalam melaksanakan projek berskala besar dan kritikal seperti ini.
"Sehubungan itu, fokus utama selepas ini memastikan setiap projek dilaksanakan dengan cekap, telus dan berintegriti agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat Sabah tanpa sebarang kelewatan atau ketirisan," katanya.
























