SEREMBAN: Semua kegiatan mengorek pasir di sungai Kampung Jijan, di sini diarah dihentikan segera selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan, berkata kegiatan pengorekan pasir sungai hanya dibenarkan jika pengusaha mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan.
"Langkah awal permit pengorekan pasir itu akan dibatalkan serta-merta dan jika SOP tidak dipatuhi maka tindakan tegas terhadap ketidakpatuhan akan diambil.
"Pengusaha bertanggungjawab membaik pulih tebing sungai yang rosak akibat aktiviti mereka dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengusaha," katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Veerapan berkata kerja mengorek pasir di kawasan sungai yang berhampiran dengan sumber pengambilan air adalah dilarang sama sekali.
"Pada masa ini, proses kelulusan projek pengorekan pasir diberikan kepada Yayasan Negeri Sembilan, namun setiap pengusaha wajib mendapatkan kebenaran daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan kelulusan daripada semua jabatan teknikal yang berkaitan.
Beliau berkata, permit syarikat projek pasir itu pernah digantung sebulan sebelum ini oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selepas agensi teknikal mendapati syarikat itu melanggar syarat lesen.
"Sepatutnya JPS kena pantau sebab dia yang bagi kelulusan timbal balik dan hasil mesyuarat tadi, syarikat itu di minta hentikan projek itu serta merta kerana sudah menjadi isu besar," katanya.
Terdahulu, penduduk Kampung Jijan, menggesa kerajaan negeri turun padang bagi menyelesaikan isu projek korek pasir yang menjejaskan tebing dan boleh mengancam keselamatan penduduk.
Tinjauan di lokasi kelmarin mendapati jentera, peralatan dan khemah pekerja dibina berhampiran kawasan sungai itu dan difahamkan kerja korek pasir dilakukan pada waktu malam sehingga awal pagi.
Kawasan sekitar kerja korek pasir itu di pagar supaya tidak diganggu penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Isu Projek Timbal Balik Kampung Jijan, Sukor Jeemaun, berkata penduduk bukan menolak pembangunan, namun membantah kaedah pelaksanaan projek yang dilaksanakan dengan tidak mengikut prosedur serta mengabaikan kepentingan komuniti setempat.
Beliau berkata, beberapa sesi pertemuan sudah diadakan bersama pihak berkaitan termasuk pejabat daerah, JPS, kontraktor serta agensi lain, namun sehingga kini tiada penyelesaian diberikan.
Beliau mendakwa, kerja pengorekan pasir itu menyebabkan hakisan tebing sungai semakin serius, sekali gus mengancam tanah milik individu.
























