BH Online
Ringkasan Berita

Geng Daud giat mencuri kabel tumpas, 5 ditahan

LARUT: Polis menumpaskan Geng Daud yang aktif mencuri kabel telekomunikasi di sekitar Batu Kurau, di sini, berikutan penahanan lima suspek dalam beberapa siri tangkapan sejak 2 April lalu.
Geng Daud giat mencuri kabel tumpas, 5 ditahan

Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah (kiri) menunjukkan peralatan dan wayar tembaga yang dirampas dari Geng Daud yang aktif mencuri kabel telekomunikasi di Batu Batu Kurau, Selama - Foto NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

LARUT: Polis menumpaskan Geng Daud yang aktif mencuri kabel telekomunikasi di sekitar Batu Kurau, di sini, berikutan penahanan lima suspek dalam beberapa siri tangkapan sejak 2 April lalu.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah berkata, kes itu terbongkar selepas polis menerima laporan pada 28 Februari lalu daripada pekerja sebuah syarikat telekomunikasi berhubung kehilangan kabel serta peralatan di pencawang, susulan gangguan talian di kawasan berkenaan.

Siasatan awal mendapati kejadian disedari sehari sebelum itu ketika pekerja melakukan pemeriksaan di lokasi selepas dihubungi pusat kawalan syarikat.

"Bertindak atas maklumat, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama menahan seorang lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan pada 2 April sebelum membawa kepada tangkapan susulan dua lagi suspek termasuk seorang warga Indonesia di Batu Kurau.

"Seorang lagi lelaki tempatan yang dipercayai pembeli barangan curi turut ditahan pada 3 April, manakala ketua kumpulan mereka diberkas di Hutan Melintang pada 7 April," katanya pada sidang media di sini.

Tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik.

Suspek berusia antara 30 hingga 48 tahun melakukan kegiatan mencuri kabel bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Kabel yang dicuri di bawa kepada warga Indonesia untuk diproses dan selain gumpalan wayar tembaga seberat 10 kilogram, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Waja, resit jualan barangan lusuh, pemotong besi dan pisau yang digunakan untuk mengupas kabel.

Warga Indonesia itu pula menjual wayar tembaga yang sudah diproses kepada kumpulan itu pada harga RM40 sekilogram yang kemudian dijual pula kepada kedai barang lusuh.

"Semua suspek didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada 9 dan 10 April lalu mengikut Seksyen 431A, 411 dan 414 Kanun Keseksaan.

"Empat tertuduh mengaku bersalah di bawah Seksyen 431A dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan, manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 414 dan kes disebut semula pada 7 Mei ini," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan