BH Online
Ringkasan Berita

Biasiswa CIMB bantu pelajar capai pendidikan berkualiti, bina masa depan

KUALA LUMPUR: Pendidikan berkualiti seharusnya boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, sekali gus membuka peluang kepada pelajar berpotensi tinggi untuk merealisasikan cita-cita mereka.

KUALA LUMPUR: Pendidikan berkualiti seharusnya boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, sekali gus membuka peluang kepada pelajar berpotensi tinggi untuk merealisasikan cita-cita mereka.

Menyedari keperluan itu, CIMB tampil menerusi CIMB ASEAN Scholarship 2026, sebuah program biasiswa penuh yang bukan sahaja menampung kos pengajian, malah menyokong pengajian peringkat tinggi pelajar, di samping menyediakan laluan kerjaya berstruktur.

Biasiswa CIMB mampu mengubah kehidupan

Pengalaman penerima terdahulu membuktikan bagaimana biasiswa ini mampu mengubah kehidupan.

Bagi Lye Kar Chiat, penerima kohort 2021, biasiswa berkenaan menjadi titik perubahan selepas kehilangan bapanya sebelum memasuki universiti.

"Ia menjadi talian hayat yang memberi arah dan harapan ketika saya amat memerlukannya," katanya.

Beliau yang melanjutkan pengajian dalam bidang Ekonomi di University College London turut mendapat pendedahan awal melalui latihan industri di pejabat CIMB di London, sekali gus membentuk cara beliau melihat kepentingan pelaksanaan dalam dunia pekerjaan.

Pengalaman menyertai program The Complete Banker™ pula membuka peluang kepadanya untuk memahami operasi perbankan secara menyeluruh menerusi penempatan di pelbagai bahagian, termasuk Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

Kini, Kar Chiat berkhidmat dalam pasukan Perbankan Transaksi CIMB dengan memberi tumpuan kepada proses pelaksanaan dan pengenalan produk, khususnya membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengakses perkhidmatan perbankan dengan lebih cekap.

Ammar Iskandar Nor Hisham, penerima kohort 2020, turut berdepan cabaran apabila pandemik COVID-19 menjejaskan kewangan keluarganya ketika di tahun pertama pengajian.

"Biasiswa ini bukan sekadar menyokong pendidikan saya, malah menyelamatkan diri saya," katanya.

Beliau yang mengikuti pengajian Kejuruteraan Mekanikal di University of Manchester pada awalnya bimbang tidak mempunyai latar belakang kewangan. Namun, peluang yang diberikan membuktikan sebaliknya apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dengan kepujian kelas pertama.

Melalui program The Complete Banker™, Ammar memperoleh pengalaman merentasi pelbagai bahagian termasuk perbankan pelaburan dan platform digital, selain pendedahan serantau di CIMB Philippines yang memperkukuh minatnya dalam inovasi digital.

Kini, beliau berperanan sebagai pemilik produk di Pusat Inovasi CIMB dengan memacu pembangunan penyelesaian digital, termasuk inisiatif memudahkan akses pembiayaan bagi PKS serta pembangunan alat simulasi faraid bagi membantu perancangan kewangan keluarga.

Menurutnya, pengalaman biasiswa itu bukan sahaja membentuk kerjaya, malah memberi perspektif baharu tentang tanggungjawab untuk menyumbang kepada masyarakat.

"Ia menjadikan saya lebih menghargai peluang yang diberikan dan menggunakan kelebihan itu untuk memberi nilai kepada orang lain," katanya.

Program ini menyasarkan pelajar yang cemerlang akademik serta mempunyai potensi kepimpinan tinggi.

Berbeza dengan biasiswa konvensional, penerima bukan sahaja mendapat pembiayaan penuh tetapi turut berpeluang membina kerjaya bersama CIMB melalui pelbagai program latihan graduan mengikut kesesuaian dan prestasi masing-masing.

Program ini turut menawarkan laluan pembangunan menyeluruh merangkumi sokongan pendidikan, pendedahan latihan industri, program graduan seperti The Complete Banker™ serta perkembangan kerjaya jangka panjang dalam organisasi.

Pendekatan ini membolehkan pelajar membina kemahiran dan keyakinan lebih awal sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Laluan kerjaya luas, fleksibel

Menariknya, biasiswa ini menyokong pelbagai bidang pengajian. Pelajar akan mendapat pendedahan serantau menerusi projek rentas sempadan dan peluang mobiliti di rangkaian pasaran ASEAN CIMB.

Bagi ibu bapa, biasiswa ini memberi nilai tambah dari segi jaminan masa depan. Pelajar bukan sahaja mendapat pendidikan berkualiti, malah mempunyai laluan kerjaya yang lebih jelas selepas tamat pengajian.

Biasiswa CIMB terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 25 tahun ke bawah serta bercita-cita membina kerjaya dalam industri kewangan dan perbankan.

Calon mestilah sedang mengikuti program diploma, asasi, matrikulasi atau pra-universiti dan bakal memulakan pengajian ijazah.

Rekod akademik yang cemerlang menjadi syarat penting, termasuk majoriti gred 'A' bagi SPM atau O-Level, 3A untuk STPM atau A-Level, CGPA 3.50/4.00 untuk program pra-universiti atau diploma, atau ATAR 80 bagi AUSMAT.

Proses pemilihan berlangsung secara berperingkat. Semua permohonan disemak untuk memastikan kriteria asas dipenuhi sebelum calon terpilih dijemput untuk penilaian dalam talian.

Calon yang berjaya seterusnya menghadiri penilaian kumpulan secara maya dan pusat penilaian yang terdiri daripada temuduga berstruktur serta bootcamp.

Proses berakhir dengan temuduga bersama pengurusan kanan CIMB Group, di mana calon akan dipilih berdasarkan kebolehan menyesuaikan diri, kemahiran komunikasi, rekod akademik cemerlang, penglibatan aktif dalam kokurikulum, serta kreativiti dan inovasi dalam menyelesaikan masalah sebenar.

CIMB berharap program ini dapat melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, malah mampu menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan ekonomi negara serta rantau ASEAN.

Permohonan bagi CIMB ASEAN Scholarship 2026 dibuka mulai 6 April hingga 22 April 2026.

Pelajar yang berminat atau ibu bapa yang ingin mengetahui lanjut boleh membuat permohonan di laman rasmi CIMB atau berkongsi peluang ini dengan individu yang layak.





Video Terkini

Berita Berkaitan