BH Online
Ringkasan Berita

Kerajaan akan tawar khidmat mediasi pro bono selesai pertikaian kontrak RM250,000 ke bawah - Azalina

KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal menawarkan proses mediasi secara pro bono kepada pihak yang mempunyai pertikaian perundangan membabitkan semua jenis kontrak bernilai RM250,000 ke bawah.
Kerajaan akan tawar khidmat mediasi pro bono selesai pertikaian kontrak RM250,000 ke bawah - Azalina

Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal menawarkan proses mediasi secara pro bono kepada pihak yang mempunyai pertikaian perundangan membabitkan semua jenis kontrak bernilai RM250,000 ke bawah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata proses berkenaan dijangka mula ditawarkan kepada umum menjelang Mei ini.

Beliau berkata, pihak yang mahu menggunakan perkhidmatan itu perlu merujuk pertikaian perundangan terbabit kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

"Bantuan berkenaan diberikan selepas mengambil kira proses mediasi ketika ini hanya boleh diadakan selepas pihak yang mempunyai pertikaian perundangan memfailkan kes mereka di mahkamah.

"Jadi kita harap (perkhidmatan ini) dapat membantu mereka menyelesaikan pertikaian melalui proses mediasi dengan kos guaman akan diserap oleh AIAC," katanya pada sidang media Simposium Seniman di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching; Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk Ishak Bakri dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Hans Isaac.

Terdahulu, Azalina dalam ucapannya berkata, proses mediasi itu adalah penyelesaian pertikaian alternatif yang ditawarkan menerusi reformasi perundangan melalui Rang Undang-undang Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025.

"Pendekatan lebih cepat, fleksibel dan kos efektif, berbanding litigasi, sekali gus memberi manfaat besar kepada semua pihak termasuk penggiat seni yang berdepan pertikaian kontrak, hak cipta atau urusan komersial tanpa perlu menanggung kos guaman tinggi.

"Pendirian kerajaan jelas, kita mahu akses kepada keadilan bukan lagi menjadi hak eksklusif sesetengah golongan, sebaliknya untuk semua warga," katanya.

Sementara itu, Azalina berkata, prestasi pencapaian bagi pelepasan kes kebankrapan pada 2025 melepasi sasaran ditetapkan apabila 204,000 kes berjaya diselesaikan.

Jumlah itu, katanya, mencatatkan peningkatan berbanding 176,000 kes pelepasan kebankrapan yang dicatatkan pada 2024.

"Dasar Peluang Kedua diperkenal sejak Belanjawan 2024 dan diperkukuh dalam Belanjawan 2025 serta 2026 adalah manifestasi jelas pendekatan Kerajaan MADANI tidak menghukum, sebaliknya memulihkan.

"Melangkah ke hadapan, Belanjawan 2026 memperkenalkan Dasar Peluang Kedua Fast Track yang mempercepat proses pelepasan kebankrapan bagi empat kumpulan utama.

"Mereka ialah ibu atau bapa tunggal; usahawan mikro, kecil dan sederhana; mangsa penipuan kewangan atau scam dan peminjam perumahan projek terbengkalai," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan