BATU KURAU: "Walaupun tiada apa mampu menggantikan kehilangan bapa, masa depan pendidikan anak-anak ini perlu terus terbela."
Itu komitmen dizahirkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tampil menyantuni waris Allahyarham Amirul Hafiz Omar, mangsa tragedi dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang, baru-baru ini.
Menerusi Program Ziarah Kasih PTPTN, agensi itu menyalurkan bantuan pendidikan melalui akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM3,000 kepada tiga anak Allahyarham sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata setiap anak menerima sumbangan berjumlah RM1,000 bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung keluarga selepas kehilangan insan tersayang.
"Kami berharap sumbangan ini menjadi sokongan bermakna untuk memastikan pendidikan anak-anak Allahyarham terus terbela, di samping membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih tabah," katanya.
Dalam pada itu, Norliza berkata, PTPTN komited menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan pendidikan menerusi instrumen Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai keistimewaan.
Antara manfaat ditawarkan adalah:
- Pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun.
- Perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit.
- Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk keluarga yang layak.
- Simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
Beliau turut menambah, produk Simpan SSPN Plus menawarkan enam pakej mampu milik bermula serendah RM30 sebulan dengan perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memperkasakan program CSR demi pembangunan anak bangsa selari dengan slogan 'PTPTN Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu'.
Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN boleh didapati melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN.























