LARUT: "Anak-anak semakin menyesuaikan diri di sini dan mereka mula dapat melupakan tragedi hitam yang menimpa bapa mereka."
Demikian kata Nor Nadia Abdul Majid, 32, balu kepada Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dirempuh seorang pemandu dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol di Klang bulan lalu.
Menurutnya dia dan tiga anaknya, Muhammad Aqif Amsyar, 9, Muhammad Aliff Izz Rayqal, 7, Nur Humaira, 2, kini menetap di rumah mentua di Kampung Repoh, Batu Kurau.
"Dua dari mereka sudah mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Repoh, di sini.
"Jika dilihat dari riak wajah, mereka semakin seronok di sini dan dapat melupakan sejenak sejarah hitam yang berlaku," katanya ditemui media di kediamannya di Kampung Repoh, Batu Kurau.
Bagaimanapun, katanya, anak bongsunya masih meminta dia menghubungi ayahnya.
"Banyak kali juga dia minta saya telefon bapa, katanya rindu nak dengar suara namun saya memaklumkan bahawa bapa dah tak boleh bercakap cuma doakan yang baik-baik buat bapa dan sedekahkan bacaan Al-Fatihah.
"Sedih memang sedih tapi kita kena tempuh bagi mereka faham," katanya.
Mengenai bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diterima tiga anaknya berusia dua hingga sembilan tahun itu, dia sedikit lega apabila masa depan anaknya kini terjamin.
"Saya rasa lega bila tahu manfaat simpanan itu, sekurang-kurangnya ada jaminan untuk masa depan pendidikan anak-anak.
"Saya memang nak simpan duit anak-anak sebab dulu arwah bapa mereka hanya buka akaun bank sahaja.
"Kami tak mahu bergantung kepada orang lain dan bila dengar ada dividen dan boleh keluarkan bila-masa, saya rasa ini sangat membantu," katanya.
Nor Nadia berkata, walaupun berdepan ujian berat, dia kini lebih fokus memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak terjaga.
Katanya, urusan berkaitan bantuan dan pengurusan juga berjalan lancar apabila mendapat sokongan pelbagai pihak.
"Alhamdulillah, proses semua cepat. Ada yang datang bantu, jadi saya tak perlu bersusah payah," katanya.
Mengimbas kenangan bersama arwah suami, Nor Nadia mengakui masih terkesan namun cuba kuat demi anak-anak.
"Saya rindu suasana lama, banyak kenangan di rumah lama di Shah Alam.
"Namun arwah sudah berpesan sebelum dia meninggal, jika jadi apa-apa padanya, dia minta saya pulang ke kampung," katanya.
Nor Nadia berkata, dia kini tidak mahu terlalu memikirkan perkara yang menyedihkan, sebaliknya mahu memberi fokus kepada kehidupan baharu bersama anak-anak.
"Yang penting sekarang, saya nak teruskan hidup dan pastikan anak-anak membesar dengan baik," katanya.
























