BH Online
Ringkasan Berita

PTPTN sumbang simpanan pendidikan anak mangsa dilanggar pemandu mabuk

LARUT: Nasib keluarga mangsa kemalangan maut di Klang, akibat dirempuh seorang pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol terus mendapat perhatian apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tampil menghulurkan bantuan simpanan pendidikan berjumlah RM3,000, hari ini.
PTPTN sumbang simpanan pendidikan anak mangsa dilanggar pemandu mabuk

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (dua kiri) menyampai bantuan kepada Nor Nadia Abdul Majid (tengah) balu mangsa kemalangan maut di kediamannya di Kampung Repoh, Batu Kurau - Foto NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

LARUT: Nasib keluarga mangsa kemalangan maut di Klang, akibat dirempuh seorang pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol terus mendapat perhatian apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tampil menghulurkan bantuan simpanan pendidikan berjumlah RM3,000, hari ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, bantuan itu disalurkan menerusi pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM1,000 bagi setiap anak.

Menurutnya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN dalam membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat tragedi.

"Kita amat prihatin dengan kes sebegini, lebih-lebih lagi apabila membabitkan anak-anak yang masih kecil berusia dua hingga sembilan tahun dan sedang membesar.

"Jadi, kita tampil membantu dalam bentuk simpanan SSPN supaya masa depan pendidikan mereka lebih terjamin," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada Nor Nadia Abdul Majid, 32, isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar,33, di Kampung Repuh,Batu Kurau, di sini.

Beliau berkata, selain membantu dari segi kewangan, simpanan SSPN turut menawarkan pelbagai manfaat termasuk perlindungan takaful, dividen tahunan serta jaminan patuh syariah.

"Apabila simpanan ini mencecah jumlah tertentu, mereka layak menikmati perlindungan takaful selain dividen tahunan yang akan membantu menambah nilai simpanan dari semasa ke semasa.

"Ini penting supaya apabila anak-anak ini mencapai usia untuk melanjutkan pelajaran, mereka tidak perlu lagi risau mengenai kos pendidikan," katanya.

Tambahnya, akaun SSPN juga memberi kelebihan seperti pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun kepada pendeposit serta peluang memohon geran sepadan sehingga RM10,000 tertakluk kepada syarat.

Beliau dalam pada itu menggalakkan ibu bapa membuka akaun SSPN seawal usia anak bagi memastikan simpanan pendidikan dapat dimulakan lebih awal.

"Dengan hanya RM20 menggunakan MyKid, ibu bapa sudah boleh membuka akaun SSPN untuk anak-anak.

"Kita tidak tahu kos pendidikan pada masa depan, jadi lebih baik kita bersedia dari sekarang," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan