BH Online
Ringkasan Berita

Bapa pemuda kemalangan langgar pokok tumbang minta orang ramai henti salur sumbangan

TAIPING: “Kami terima lebih RM15,000 dalam tempoh kurang 24 jam selepas berita mengenai anak saya disiarkan, jadi kami minta orang ramai hentikan sumbangan”.
Bapa pemuda kemalangan langgar pokok tumbang minta orang ramai henti salur sumbangan

Laporan BH Online semalam mengenai kemalangan membabitkan Muhammad Azmin Ahmad Fauzi.

TAIPING: "Kami terima lebih RM15,000 dalam tempoh kurang 24 jam selepas berita mengenai anak saya disiarkan, jadi kami minta orang ramai hentikan sumbangan".

Perkembangan itu dikongsi Ahmad Fauzi Saarani, 56, yang sebelum ini merayu bantuan orang ramai untuk menampung kos rawatan kecederaan kepala dan leher anaknya, antara RM10,000 hingga RM15,000.

Ia selepas Muhammad Azmin Ahmad Fauzi, 22, terbabit kemalangan di Bagan Serai pada Rabu lalu ketika menunggang motosikal apabila merempuh pokok tumbang dan merintangi jalan akibat ribut.

Akibat nahas itu, dia mengalami kecederaan parah di kepala selain patah di dua bahagian tengkuk.

Ahmad Fauzi berkata, setakat jam 8 pagi tadi, sumbangan awam diterima lebih RM15,000, melebihi jumlah diperlukan dan dia amat bersyukur serta tidak menyangka ramai tampil membantu.

"Kos pembedahan dijangka RM10,000 hingga RM15,000, namun sumbangan yang kami terima setakat ini sudah mencukupi.

"Saya minta orang ramai hentikan sumbangan kerana tak mahu dianggap ambil kesempatan. hanya Allah mampu membalas jasa semua penderma," katanya dihubungi hari ini.

Dia juga meminta semua menghentikan penyebaran maklumat kutipan dana termasuk nombor akaun serta kod imbas (QR) bank milik anaknya di semua platform media sosial.

Ahmad Fauzi berharap orang ramai terus mendoakan agar urusan pembedahan anaknya dipermudahkan serta diberikan kesembuhan.

Dia turut berhasrat menyumbang lebihan wang sumbangan kepada seorang kanak-kanak dari Bagan Serai yang melecur disambar api ketika Aidilfitri lalu dengan kos pembedahan difahamkan sekitar RM18,000.

Dalam insiden Rabu lalu, Muhammad Azmin mengalami kecederaan parah dan doktor pakar memaklumkan pembedahan segera perlu dibuat termasuk pemasangan plat besi untuk menyokong leher mangsa.

Video Terkini

Berita Berkaitan