BATU CAVES: Dakwaan penderaan seksual berlarutan hampir sedekad di sebuah rumah kanak-kanak tidak berdaftar di Selayang di sini terbongkar, dengan empat individu termasuk pengendalinya kini ditahan polis.
Mangsa terdiri daripada kanak-kanak lelaki berusia antara 9 hingga 17 tahun dan kini dirawat di Hospital Selayang selepas pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan yang konsisten dengan penderaan seksual, termasuk trauma lama dan baharu.
Rumah berkenaan dipercayai beroperasi sejak 10 tahun lalu.
Polis menahan empat suspek termasuk pengendali berusia 31 tahun dan mereka direman hingga esok bagi membantu siasatan. Seorang daripada yang ditahan adalah penghuni berusia 17 tahun.
Bekas penghuni tampil mengadu
Kes itu didedahkan Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor (PKTTS), S Maran, yang berkata penderaan terbongkar selepas dua bekas penghuni yang baru mencecah usia 18 tahun tampil membuat pendedahan.
"Mereka memendam perkara ini bertahun-tahun. Apabila akhirnya bersuara, apa yang didedahkan amat mengejutkan dan menyedihkan.
"Ini bukan kes terpencil, sebaliknya penderaan berulang yang dipercayai berlaku dalam tempoh lama tanpa didedahkan," katanya.
Menurutnya, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak sebelum beliau bersama pasukannya mengunjungi premis itu dengan alasan menghadiri sambutan hari lahir pada malam sama.
Katanya, ahli pasukan kemudian berinteraksi dengan penghuni dan beberapa mangsa mula membuka cerita serta mengenal pasti suspek.
Beliau mendakwa situasi menjadi lebih serius apabila bukti berkaitan kejadian itu ditemui dalam telefon bimbit milik suspek.
"Dengan pengakuan mangsa dan penemuan itu, tidak lagi timbul keraguan bahawa kes ini benar-benar berlaku," katanya.
Lebih 10 laporan polis
Sekurang-kurangnya 10 laporan polis telah dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan, bekas penghuni dan ibu bapa.
Menurut Maran, hasil pemeriksaan perubatan menunjukkan beberapa mangsa mengalami kecederaan yang dipercayai akibat penderaan berulang, termasuk yang berlaku baru-baru ini.
"Mangsa mengalami trauma dan takut untuk bersuara kerana diugut dengan hukuman jika mendedahkan kejadian," katanya.
Seorang ibu tunggal yang ditemui berkata beliau terkejut apabila mengetahui dua anak lelakinya berusia 9 dan 10 tahun turut menjadi mangsa.
"Saya percaya tempat ini sejak lebih lapan tahun. Saya datang melawat hampir setiap minggu, tetapi tidak pernah terfikir perkara seperti ini berlaku," katanya sambil memaklumkan akan membawa pulang anaknya.
Kelemahan serius pengurusan premis
Siasatan turut mendedahkan kelemahan serius dalam pengurusan premis yang menempatkan 36 kanak-kanak – 23 lelaki dan 13 perempuan – termasuk kekurangan pengawasan serta pelanggaran piawaian asas penjagaan.
Maran turut mendakwa penderaan mungkin tidak hanya berlaku di dalam premis, malah turut berlaku di luar.
Semakan mendapati rumah berkenaan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebaliknya beroperasi di bawah sebuah syarikat swasta, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai penguatkuasaan.
"Bagaimana premis seperti ini boleh beroperasi selama 10 tahun tanpa tindakan?
"Ini bukan sekadar kecuaian, tetapi kegagalan sistem," katanya.
Beliau menegaskan semua 36 kanak-kanak perlu diperiksa kerana dipercayai masih ada mangsa yang takut tampil.
Sementara itu, pihak berkuasa termasuk JKM dan pasukan forensik telah menyerbu premis berkenaan dan memulakan siasatan.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia, Siti Kamsiah Hassan, mengesahkan penahanan suspek.
"Suspek telah ditahan dan siasatan masih dijalankan," katanya ringkas.


















