KUALA LUMPUR: Pak Tam atau nama sebenarnya, Mohd Syahir Sayuti Ahmad, 45, yang dilaporkan hilang sejak 17 Februari lalu ketika menunaikan umrah di Makkah, ditemui selamat di Tanah Suci, hari ini.
Perkara itu disahkan oleh anak saudaranya, Nur Syafini Zainal Abidin, 31, yang memaklumkan berita gembira itu kepada Harian Metro.
Beliau berkata, mereka dimaklumkan bahawa Pak Tam ditemui pekerja warga Indonesia di masjid di Makkah sekitar jam 4.30 pagi waktu Arab Saudi (9.30 pagi waktu Malaysia).
"Alhamdulillah, Pak Tam sudah dijumpai oleh seorang pekerja Indonesia, dan pekerja itu hubungi bapa saudara saya yang lain menerusi nombor telefon yang ada pada beg Pak Tam pada jam 9.30 pagi tadi.
"Kemudian, pekerja itu sudah menghubungi TA (agensi pelancongan), dan TA akan uruskan bawa Pak Tam pulang ke Malaysia.
"Terima kasih atas bantuan. Alhamdulillah, syukur ya Allah," katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Memaklumkan lanjut, Nur Syafini berkata, beliau sedang menunggu maklumat lanjut berhubung penemuan Pak Tam itu.
"Saya masih menunggu cerita dari pakcik saya. Buat masa ini, maklumat yang kami dapat ialah Pak Tam sudah dijumpai, pagi tadi.
"Kini, Pak Tam berada dalam jagaan pasukan agensi pelancongan umrah di sana sementara menunggu urusan untuk dibawa pulang ke Malaysia," katanya.
Sebelum ini, Pak Tam dilaporkan hilang sejak 17 Februari lalu ketika menunaikan umrah bersama empat lagi ahli keluarganya.
Kehilangan Pak Tam dikatakan disedari selepas rombongan keluarganya berhenti menunaikan tawaf sunat, untuk bersedia menunaikan solat isyak di kawasan Sutuh (rooftop) Masjidil Haram.
























