BH Online
Ringkasan Berita

Klik pautan APK, cara paling cepat hanguskan simpanan

KUALA LUMPUR: Keinginan memiliki barangan murah atau akses segera kepada bantuan kerajaan kini menjadi 'perangkap maut' yang mampu melenyapkan simpanan seumur hidup dalam sekelip mata.

KUALA LUMPUR: Keinginan memiliki barangan murah atau akses segera kepada bantuan kerajaan kini menjadi 'perangkap maut' yang mampu melenyapkan simpanan seumur hidup dalam sekelip mata.

Sifat terlalu mudah percaya kepada iklan di media sosial tanpa usul periksa menjadi punca utama mangsa terus terjebak dalam penipuan perisian hasad atau malware scam.

Jerangkap 'rasa ingin tahu'

Berbanding taktik paksaan, sindiket kini beralih kepada kaedah manipulasi emosi yang lebih licik. Dalam sebuah senario yang sering berlaku, mangsa menerima hantaran atau mesej yang mempunyai unsur larangan atau amaran palsu.

Sebagai contoh, mesej yang berbunyi "Hanya untuk golongan tertentu, jangan klik jika bukan penerima bantuan" sebenarnya adalah umpan yang direka untuk mencabar sifat ingin tahu manusia.

Apabila larangan sedemikian diberikan, wujud kecenderungan dalam pemikiran mangsa untuk melakukan perkara yang sebaliknya.

Rasa sayang jika terlepas peluang atau keinginan membuktikan kandungan di sebalik pautan tersebut akhirnya mendorong individu menekan pautan yang disediakan. Tindakan itu merupakan langkah pertama ke arah kehilangan akses perbankan peribadi.

Realiti pahit malware scam

 

Sebaik sahaja pautan ditekan, mangsa akan diminta memuat turun fail APK yang menyamar sebagai aplikasi rasmi.

Kegagalan mengawal emosi pada saat itu membawa kepada fasa di mana butiran perbankan dicuri.

Ini berlaku apabila aplikasi palsu tersebut meminta kebenaran untuk mengakses sistem telefon. Sebaik kebenaran diberikan, sindiket berupaya mengesan dan memintas papan kekunci telefon pintar tanpa disedari pemilik akaun.

Melalui kempen terbaharu #JanganKenaScam 'Percaya Dulu, Menyesal Kemudian', Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) serta Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menegaskan keselamatan kewangan kini bergantung kepada ketelitian setiap individu dalam mengesan taktik penipuan siber.

Tindakan melulu memuat turun aplikasi luar merupakan pintu masuk utama kepada aktiviti jenayah ini.

Panduan mengelak perangkap

 

Bagi memastikan keselamatan peranti dan akaun bank sentiasa terpelihara, langkah-langkah berikut perlu dipatuhi secara tegas.

  • Elakkan menekan pautan yang diterima melalui SMS atau mesej WhatsApp daripada pihak tidak dikenali.
  • Gunakan Google Play Store atau Apple App Store sahaja. Elakkan memuat turun fail APK daripada pelayar web atau pautan pihak ketiga.
  • Jangan berikan kebenaran kepada mana-mana aplikasi untuk membaca SMS bagi mengelakkan kod OTP dicuri.
  • Hubungi pihak bank atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 jika terdapat aktiviti perbankan yang meragukan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan teknik manipulasi yang digunakan sindiket.

Maklumat lanjut mengenai trend penipuan terkini boleh didapati melalui portal www.jangankenascam.com atau ikuti akaun media sosial rasmi @jangankenascamofficial.

Layari Instagram dan TikTok @jangankenascamofficial sekarang untuk menonton siri drama pendek terbaharu yang membongkar taktik kotor sindiket, menampilkan barisan pempengaruh seperti Adam Bakery, WanChai, Shah Zakaria dan ramai lagi.

Jangan jadi mangsa seterusnya!

Video Terkini

Berita Berkaitan