BH Online
Ringkasan Berita

Tragedi UPSI satukan 14 keluarga, Aidilfitri disambut penuh sayu

JERTIH: Waris keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dan cedera dalam nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak Jun tahun lalu tidak pernah menyangka mereka akan berkumpul bersama bagi menyambut Aidilfitri tahun ini.
Tragedi UPSI satukan 14 keluarga, Aidilfitri disambut penuh sayu

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan waris pelajar UPSI sempena sambutan Aidilfitri di di Perumahan Bukit Cina, Kampung Pasir Akar, Besut, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

JERTIH: Waris keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dan cedera dalam nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak Jun tahun lalu tidak pernah menyangka mereka akan berkumpul bersama bagi menyambut Aidilfitri tahun ini.

Bapa kepada Allahyarham Fakhrul Arif, Rosdi Yunus, 57, berkata walaupun ramai pelajar UPSI berasal dari Besut, tidak semua keluarga saling mengenali antara satu sama lain.

Menurutnya, tragedi yang mengorbankan 15 pelajar itu mengubah keadaan berkenaan.

"Kami, 15 keluarga pelajar yang terkorban bersama beberapa keluarga pelajar yang cedera, kini seolah-olah menjadi sebuah keluarga besar yang sentiasa berhubung dan bertanya khabar," katanya.

Beliau berkata, pertemuan itu adalah inisiatif pertamanya yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri serta pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut.

Rosdi berkata demikian ketika ditemui di Perumahan Bukit Cina, Kampung Pasir Akar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin.

Beliau berkata, 11 daripada 15 keluarga pelajar terkorban termasuk tiga keluarga pelajar yang cedera berkesempatan menghadiri pertemuan berkenaan.

"Pertemuan secara bersemuka ini mengeratkan hubungan silaturahim antara kami serta memudahkan untuk saling memberi sokongan.

"Aidilfitri tahun ini juga disambut secara sederhana, tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya bersama keluarga masing-masing," katanya.

Sementara itu, Maliaman berkata satu pertemuan lebih besar membabitkan semua waris pelajar UPSI yang terbabit dalam tragedi itu akan diadakan pada 9 Jun depan.

Katanya, tarikh berkenaan dipilih bersempena genap setahun kejadian kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar berkenaan.

"Majlis itu akan diadakan di salah sebuah rumah waris dan pihak kami akan memohon pelepasan daripada UPSI bagi membolehkan pelajar yang cedera pulang pada tarikh berkenaan.

"Dua mangsa kemalangan, Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan, 22, dan Ain Najwa Mohd Ilias, 24, yang dipilih sebagai anak angkat Kerajaan Terengganu akan terus menerima bantuan tunai RM500 setiap bulan sehingga tamat pengajian," katanya.

Beliau berkata, Adham dipilih kerana kedua-dua ibu bapanya tergolong dalam kategori kurang berkemampuan serta Orang Kurang Upaya (OKU), manakala Ain Najwa merupakan anak yatim dan berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.

Video Terkini

Berita Berkaitan