KUALA LUMPUR: Hong Leong Islamic Bank Bhd (HLB Islamic) melangkah ke era baharu dengan identiti jenama diperbaharui selain memperkenalkan Hayat @ HLB Islamic, sebuah proposisi pengurusan harta berteraskan syariah yang komprehensif .
Langkah strategik itu bertujuan memperkukuh visi bank dalam menyediakan penyelesaian kewangan menyeluruh yang menekankan pengurusan harta sepanjang kitaran hayat pelanggan, melangkaui model perbankan berasaskan transaksi konvensional.
Inisiatif berkenaan selaras dengan falsafah baharu bank, 'Pegangan Lestari Membimbing Kesenangan Masa Depan', yang diperkenalkan sempena sambutan ulang tahun ke-20 HLB Islamic pada Disember tahun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Kevin Lam berkata penjenamaan semula itu adalah langkah strategik bagi memperkukuh kedudukan perbankan patuh Syariah sebagai pemacu pertumbuhan kumpulan.
Beliau berkata, penyelarasan identiti perbankan Islam dengan jenama utama Hong Leong Bank turut memudahkan pelanggan mengakses penyelesaian kewangan patuh Syariah yang lebih intuitif dan terintegrasi secara digital.
"Langkah ini membolehkan kami memperkukuh hubungan jenama dengan pelanggan daripada pelbagai latar belakang, selain menjadikan HLB Islamic sebagai gerbang utama pengurusan harta dalam ekosistem Hong Leong Financial Group (HLFG).
"Pada masa sama, kami mahu membuktikan penyelesaian kewangan berasaskan nilai mampu menerajui inovasi serta meningkatkan penerimaan pasaran," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HLB Islamic, Dafinah Ahmed Hilmi berkata pelancaran Hayat @ HLB Islamic mencerminkan komitmen bank untuk membantu pelanggan merancang kewangan secara lebih tersusun.
Menurutnya, pendekatan itu menekankan pengurusan harta secara menyeluruh yang merangkumi pelbagai peringkat kehidupan pelanggan.
"Dengan membangunkan penyelesaian berdasarkan perjalanan hidup pelanggan, kami mahu memastikan perancangan kewangan menjadi lebih mudah, lancar dan intuitif," katanya.
Hayat @ HLB Islamic merangkumi lima tonggak utama pengurusan harta Islam yang menyokong keseluruhan kitaran kewangan pelanggan, iaitu penciptaan dan pengumpulan harta, pemeliharaan harta, pertumbuhan harta, penyucian harta serta pengagihan harta.
Pendekatan itu juga menekankan prinsip Maqasid al-Shariah yang menghubungkan setiap keputusan kewangan dengan tanggungjawab sosial serta kesejahteraan masyarakat.
Seiring inisiatif berkenaan, pelanggan kini boleh mengakses perkhidmatan zakat, sedekah dan wakaf secara terus menerusi aplikasi HLB Connect bagi memudahkan pelaksanaan sumbangan sebagai sebahagian daripada urusan perbankan harian.
Bagi meraikan pelancaran itu, HLB Islamic turut memperkenalkan promosi khas termasuk peluang memenangi hadiah perjalanan ke Jepun, China dan Vietnam menerusi langganan produk terpilih di bawah lima tonggak Hayat @ HLB Islamic.
Maklumat lanjut mengenai identiti jenama baharu dan Hayat @ HLB Islamic boleh diperoleh di laman web rasmi bank di www.hlbislamic.com.my/hayat.























