BH Online
Ringkasan Berita

"Arwah suami pilih tema warna merah untuk sekeluarga tapi tak sempat pakai pagi raya"

SETIU: Allahyarham Mohamad Shakiran Saidi, 36, anggota tentera yang maut dalam kemalangan di Kilometer 70 Bandar Permaisuri, di sini, hari ini amat teruja untuk memakai pakaian sedondon berwarna merah bersama keluarga pada Aidilfitri tahun ini.
"Arwah suami pilih tema warna merah untuk sekeluarga tapi tak sempat pakai pagi raya"

Nor Fatin menunjukkan gambar arwah suami, Allahyarham Mohamad Shakiran Saidi bersama anak-anak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu, di sini, hari ini. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

SETIU: Allahyarham Mohamad Shakiran Saidi, 36, anggota tentera yang maut dalam kemalangan di Kilometer 70 Bandar Permaisuri, di sini, hari ini amat teruja untuk memakai pakaian sedondon berwarna merah bersama keluarga pada Aidilfitri tahun ini.

Isterinya, Nor Fatin Mohd Azhar, 36, berkata, mereka lima beranak tidak pernah berpakaian sedondon pada Aidilfitri memandangkan mereka pasangan perkahwinan jarak jauh (PJJ) sejak 11 tahun lalu.

"Namun tahun ini suami tiba-tiba minta saya sediakan baju raya untuk diri sendiri serta tiga orang anak kami manakala baju Melayu miliknya dibeli sendiri.

"Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian dan baju Melayu dibeli itu turut ditemui dalam kereta yang dinaikinya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu, di sini, hari ini.

Katanya, arwah juga tidak sabar untuk berjumpa anak bongsu mereka, Muhamad Harasy Mikhail yang kini berusia lapan bulan.

"Saya hanya mengetahui suami terbabit kemalangan selepas dihubungi salah seorang pengguna laman Facebook (FB).

"Ketika sedang bekerja di sebuah hospital di Kelantan saya tergerak hati untuk membuka FB kira-kira 2 petang," katanya.

Katanya, dia cuba menghubungi pemberi maklumat untuk kepastian dan turut menghubungi pengurusan kem serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu.

"Sebaik mendapat pengesahan saya terus pulang ke rumah sebelum bergerak ke Unit Forensik Hospital Setiu bersama keluarga," katanya.

Katanya, dia sendiri tidak menyangka kepulangan suami yang ditunggu-tunggu untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga berakhir dengan tragedi.

"Impian kami untuk hidup bersama selepas sekian lama hidup berasingan tidak juga kesampaian," katanya.

Sementara itu, Naimah Zakaria, 54, ibu kepada anggota tentera yang turut terkorban dalam nahas itu, Muhammad Aminuddin Amran, 21, dari Pulai Chondong, Kelantan berkata arwah anaknya ada beritahu tidak mahu beli pakaian raya kerana ingin memakai kurta putih yang digunakan untuk menghadiri majlis tertentu di kem.

Katanya, arwah juga tidak memaklumkan kepada untuk pulang lebih awal daripada tarikh dijadualkan namun naluri keibuannya dapat merasai 'kepulangan' anak kelima daripada enam beradik itu.

"Pemergian arwah ketika menjelang hari raya ini sebenarnya mengulangi semula peristiwa tragis yang berlaku kepada anak kedua saya turut terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 2024.

"Sehingga kini saya masih trauma setiap kali mahu menyambut hari raya kerana teringat peristiwa lalu dan tidak sangka sejarah kembali berulang apabila arwah Aminuddin pula mengikut jejak langkah abangnya itu," katanya.

Beliau berkata, arwah sebelum ini sering mengatakan dirinya sama seperti Allahyarham abangnya tetapi tidak menyangka cara mereka berdua 'pergi' juga sama terbabit dalam kemalangan.

"Jika diikutkan tahun ini saya juga seperti tidak bersemangat untuk membuat persiapan raya dan tidak menyangka ianya menjadi petanda bakal kehilangan seorang lagi anak.

"Perasaan trauma kehilangan anak ketika hampir menyambut hari raya dahulu masih belum hilang kini saya terpaksa melalui semula detik sukar ini sekali lagi," katanya.

Muhammad Aminuddin, 21 dan Mohamad Shakiran, 36, rakan setugas di Kem 7, Workshop Briged Tebrau Johor dalam perjalanan dari tempat kerja untuk balik bercuti di Kelantan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Video Terkini

Berita Berkaitan