KUALA LUMPUR: Sempena bulan Ramadan, 7-Eleven Malaysia meneruskan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunannya, Semurni Kasih, yang memberi tumpuan kepada usaha menyokong komuniti serta menyemai semangat berkongsi rezeki sepanjang bulan mulia ini.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, syarikat menyalurkan sumbangan sebanyak RM27,888 kepada Persatuan Kebajikan Kakitangan Masjid Negara Kuala Lumpur (PKKMNKL) bagi menyokong program moreh Ramadan di Masjid Negara.
Ramadan sering menjadi waktu yang mempertemukan masyarakat dalam semangat berkongsi rezeki dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Di masjid, detik selepas solat tarawih bukan sahaja diisi dengan ibadah, malah menjadi ruang kebersamaan apabila jemaah berkumpul menikmati juadah moreh sebelum pulang ke rumah.
Sumbangan berkenaan disampaikan melalui majlis penyerahan cek replika oleh Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Annuar Zaini, dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama 7-Eleven Malaysia, Tan U-Ming.
7-Eleven Malaysia kongsi rezeki, eratkan kebersamaan jemaah Dana tersebut akan digunakan untuk penyediaan serta pengagihan juadah moreh di Masjid Negara selepas solat tarawih setiap malam.
Sepanjang Ramadan, ratusan jemaah daripada pelbagai latar belakang merangkumi keluarga, pelajar, pekerja dan musafir berkumpul di masjid berkenaan yang menjadi mercu tanda kerohanian di ibu kota.
Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata Ramadan merupakan waktu penuh makna untuk masyarakat saling menyokong antara satu sama lain.
"Ramadan mengingatkan kita tentang pentingnya nilai belas ihsan, berendah hati dan berkongsi rezeki bersama masyarakat.
"Kami berbesar hati dapat menyokong usaha Masjid Negara dalam menghimpunkan masyarakat melalui program moreh Ramadan ini dan berharap sumbangan ini dapat mewujudkan detik kebersamaan yang bermakna dalam kalangan para jemaah," katanya.
Melalui kempen Semurni Kasih, 7-Eleven Malaysia bekerjasama dengan pelbagai rakan komuniti bagi menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan serta menyokong inisiatif yang menggalakkan kebersamaan masyarakat sepanjang Ramadan.
Dengan sumbangan ini, 7-Eleven Malaysia berharap dapat memainkan peranan bermakna dalam menyokong inisiatif pemerkasaan komuniti setempat, sekali gus memastikan semangat memberi terus disemai sepanjang bulan Ramadan.
















