BESUT: "Selalunya menjelang Aidilfitri, arwah akan sibuk pasang pelita minyak tanah di sekeliling rumah," kata Azman Mohamad, 64, bapa kepada Nurly Sahirah, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut bersama 14 pelajar lain dalam kemalangan di Gerik, Perak, Jun lalu.
Katanya, sambutan dan kemeriahan Aidilfitri tahun ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila ketiadaan salah seorang ahli keluarga.
"Rutin hampir setiap tahun kami tujuh beranak akan berkumpul di pagi raya termasuk anak cucu yang tinggal di perantauan. Tapi tahun ini hanya enam beranak sahaja.
"Walaupun ketika itu arwah masih belajar namun tahun lalu ketika bulan Ramadan serta awal Syawal dia bercuti semester dan masanya banyak dihabiskan bersama saya serta ibunya (Kamariah Abdul Latif, 61)," katanya ketika ditemui di Kampung Gong Pasir di Kerandang di sini, semalam.
Katanya, arwah anak bongsu daripada lima beradik itu juga seorang yang suka memasak serta gemar menjamu orang dengan masakan air tangannya.
"Dia sangat rapat dengan sepupunya, setiap kali balik kampung dia akan memasak dan panggil sepupunya itu datang makan di rumah.
"Selepas ketiadaan arwah, sepupunya itu mengambil koleksi pakaian arwah untuk dipakai harian dan setiap kali melihat anak saudara (sepupu arwah) pakai baju Nurly saya terasa seperti dia masih ada," katanya.
Sementara itu, Kamariah berkata, walaupun Nurly sudah meninggal dunia lebih sembilan bulan lalu, masih ada orang yang datang menziarahi kuburnya.
"Selalunya setiap pagi selepas balik masjid, saya dan suami akan pergi untuk membersihkan kubur tetapi pada bulan Ramadan ini kami biasanya pergi waktu petang," katanya.
Katanya, dia juga terharu apabila ada seorang penduduk dari kampung jiran iaitu Kampung Gong Kepas sanggup berulang alik ke situ untuk membersihkan kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir.
"Bekas pesara itu menjadikan arwah Nurly sebagai sumber inspirasi untuk mendalami al-Quran serta berjaya khatam enam kali selepas arwah meninggal.
"Bermula dari itu dia terdetik untuk datang membersihkan kubur arwah setiap hari, menyiram pokok di sekeliling kawasan kubur.
"Lama-kelamaan dia bukan sahaja bersihkan kubur arwah Nurly sahaja tetapi membersihkan seluruh kawasan kubur berkenaan setiap hari kadang sebelah pagi serta petang," katanya.
Katanya, perasaan rindu terhadap arwah tidak pernah padam dalam ingatan terutamanya apabila berkumpul bersama keluarga menyambut Aidilfitri.
Nurly adalah seorang daripada 15 penumpang bas yang membawa pelajar UPSI yang maut dan tujuh parah apabila bas yang dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Jeli - Grik berhampiran Tasik Banding, Perak kira-kira jam 1 pagi 9 Jun lalu.
Nurly yang juga hafizah 30 juzuk al-Quran meninggal di lokasi kejadian sambil memegang kitab suci itu di dada.
























