BH Online
Ringkasan Berita

RM25.8 juta keuntungan Pertubuhan Peladang agih sebelum raya

PUTRAJAYA: Seramai lebih 400,000 ahli Pertubuhan Peladang di seluruh negara bakal menerima 'duit raya' lebih awal apabila kerajaan meluluskan agihan keuntungan berjumlah RM25.8 juta bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024.

PUTRAJAYA: Seramai lebih 400,000 ahli Pertubuhan Peladang di seluruh negara bakal menerima 'duit raya' lebih awal apabila kerajaan meluluskan agihan keuntungan berjumlah RM25.8 juta bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024.

Khabar gembira itu diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang menyifatkan langkah tersebut sebagai usaha memastikan kebajikan warga peladang tetap terpelihara meskipun berdepan isu tatakelola.

Pembayaran khas ini dijadualkan dapat dilaksanakan sebelum sambutan Aidilfitri ini, sekali gus memberi kelegaan kepada ahli peladang dalam membuat persiapan menyambut lebaran.

Mohamad berkata, beliau menggunakan kuasa di bawah Seksyen 27(2) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) untuk mengeluarkan Perintah Khas bagi membolehkan agihan tersebut dibuat secara sah.

Langkah ini diambil memandangkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan ekoran penggantungan yang masih berkuat kuasa sekali gus menjejaskan proses agihan mengikut tatacara biasa.

"Keputusan ini dibuat atas pertimbangan kepentingan anggota peladang agar hak mereka tidak terjejas akibat isu tatakelola yang sedang ditangani," katanya.

Beliau turut mendedahkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berjaya mencatat prestasi luar biasa dengan keuntungan sebanyak RM221 juta bagi tahun kewangan 2024, iaitu angka tertinggi sejak penubuhannya pada tahun 1972.

Secara keseluruhan, sebanyak 212 Pertubuhan Peladang dikenal pasti layak untuk melaksanakan pembahagian keuntungan tersebut.

Bagaimanapun, kementerian menegaskan Perintah Khas ini adalah langkah khusus yang hanya terhad kepada Tahun Kewangan Beraudit 2024 sahaja.

Bagi ahli yang menantikan proses pembayaran, tatacara lanjut mengenai agihan dana tersebut akan dimaklumkan oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang dalam masa terdekat.

Langkah proaktif ini membuktikan komitmen kementerian dalam memastikan nadi ekonomi sektor pertanian negara tidak terhenti, sambil terus memperkasa integriti pengurusan organisasi peladang demi manfaat jangka panjang ahli di seluruh Malaysia.

Video Terkini

Berita Berkaitan