BH Online
Ringkasan Berita

Keyakinan rakyat terhadap institusi terhakis jika yang diamanah jaga negara tiada integriti

KUALA LUMPUR: Integriti seseorang perlu dipastikan sebelum mereka direkrut ke dalam mana-mana organisasi, khususnya yang memikul tanggungjawab yang membabitkan kepentingan awam.
Keyakinan rakyat terhadap institusi terhakis jika yang diamanah jaga negara tiada integriti

Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham.

KUALA LUMPUR: Integriti seseorang perlu dipastikan sebelum mereka direkrut ke dalam mana-mana organisasi, khususnya yang memikul tanggungjawab yang membabitkan kepentingan awam.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham, berkata integriti tidak seharusnya hanya dipupuk sepanjang kerjaya seseorang, sebaliknya perlu sudah wujud dalam diri individu sebelum memasuki perkhidmatan.

"Pada pandangan saya, kita mesti memastikan bahawa sebelum seseorang diambil bekerja, individu itu sudah mempunyai integriti.

"Integriti pada akhirnya mencerminkan kualiti seseorang. Kekuatan sesebuah organisasi atau negara terletak pada kualiti modal insan yang dimilikinya," katanya dalam temu bual bersama BERNAMA TV bertajuk 'Price of Integrity: Threats and Slander'.

Ahmad Rosli berkata rakyat perlu mempunyai nilai yang kukuh, termasuk keikhlasan dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab.

"Walau sehebat atau sepintar mana pun seseorang, jika integriti tiada, individu itu boleh menjadi antisosial dan bermasalah, bukannya memberi manfaat kepada organisasi atau negara," katanya.

Beliau berkata individu yang diamanahkan dengan tanggungjawab melibatkan negara dan rakyat Malaysia mesti mempunyai integriti.

Tambah Ahmad Rosli kepentingan integriti turut tercermin dalam perundangan, khususnya apabila pelanggaran integriti dikaitkan dengan kesalahan rasuah.

"Itulah sebabnya pelanggaran berkaitan integriti yang mempunyai kaitan dengan rasuah dikriminalkan di bawah undang-undang antirasuah," katanya.

Beliau berkata negara yang dibelenggu rasuah sering berdepan projek gagal, penguatkuasaan undang-undang yang lemah serta hakisan kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa.

"Apabila integriti tiada dalam kalangan mereka yang diamanahkan menjaga negara, keyakinan rakyat terhadap institusi akan terhakis," katanya.

Ahmad Rosli berkata agensi seperti SPRM memainkan peranan penting dalam memastikan integriti terus dipelihara dalam usaha membina negara yang maju dan berkesan dengan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap.

"Integriti mesti wujud dalam jiwa setiap individu yang diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan