BH Online
Ringkasan Berita

Sistem 'Teen Accounts' letakkan remaja bawah tetapan keselamatan media sosial lebih ketat - Meta

KUALA LUMPUR: Remaja kini secara automatik berada dalam lingkungan tetapan keselamatan Meta yang lebih ketat, termasuk perlindungan yang menghalang mereka daripada menerima mesej daripada orang tidak dikenali di Facebook, Instagram dan Messenger.
Sistem 'Teen Accounts' letakkan remaja bawah tetapan keselamatan media sosial lebih ketat - Meta

Pengarah Dasar Awam (Produk) Meta APAC , Philip Chua. - NSTP/NABILA ADLINA AZAHARI

KUALA LUMPUR: Remaja kini secara automatik berada dalam lingkungan tetapan keselamatan Meta yang lebih ketat, termasuk perlindungan yang menghalang mereka daripada menerima mesej daripada orang tidak dikenali di Facebook, Instagram dan Messenger.

Perubahan itu sebahagian daripada sistem 'Teen Accounts' Meta yang mengawal aspek hubungan, kandungan dan masa penggunaan skrin bagi pengguna berusia bawah 16 tahun.

Pengarah Dasar Awam (Produk) Meta Asia Pasifik, Philip Chua, berkata sistem itu menyatukan pelbagai alat keselamatan ke dalam tetapan tunggal pengalaman 'default'.

"Hari ini di Malaysia, jika anda berusia bawah 16 tahun dan menggunakan Facebook, Instagram atau Messenger, anda secara automatik akan ditempatkan dalam Teen Account dengan tetapan keselamatan paling ketat diaktifkan.

"Bagi pengguna bawah 16 tahun, kelulusan ibu bapa diperlukan sebelum mana-mana tetapan ini boleh dilonggarkan," katanya

Chua berkata ciri itu sudah pun digunakan secara meluas, dengan ratusan juta remaja di seluruh dunia didaftarkan.

Dalam kalangan pengguna bawah 16 tahun, sebanyak 97 peratus mengekalkan tetapan keselamatan 'default' tanpa perubahan.

"Kami melihat penerimaan meluas terhadap ciri Teen Accounts, dengan ratusan juta remaja di seluruh dunia didaftarkan. Dalam kalangan pengguna bawah 16 tahun, 97 peratus mengekalkan tetapan keselamatan 'default' itu," katanya.

Kemas kini itu dibuat ketika Malaysia mempergiat usaha memperkukuh keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak, dengan kerajaan menggalakkan platform digital menyediakan perlindungan keselamatan serta pemantauan oleh ibu bapa.

Di bawah rangka kerja Teen Accounts, akaun remaja ditetapkan sebagai peribadi secara default. Hanya pengikut diluluskan boleh melihat hantaran, manakala fungsi tanda (tag) dan sebutan (mention) dihadkan kepada individu yang sudah diikuti.

Meta juga memperkenalkan kawalan lebih ketat terhadap pihak yang boleh menghubungi remaja.

"Tiada sesiapa yang tidak mempunyai hubungan dengan anda — tiada orang asing — boleh menghantar mesej kepada anda," kata Chua, sambil memaklumkan langkah itu bertujuan mengurangkan risiko hubungan tidak sesuai atau berpotensi memudaratkan dalam talian.

Walaupun syarikat itu terus menyingkirkan kandungan yang melanggar piawaian komuniti, Chua mengakui sebahagian hantaran berada dalam kategori "sempadan".

Kandungan ini tidak semestinya dilarang sepenuhnya, tetapi mungkin tidak sesuai untuk penonton muda.

Oleh itu, Teen Accounts ditetapkan untuk meminimumkan kemungkinan kandungan sedemikian muncul dalam cadangan.

Perluas alat bagi tangani buli siber

Syarikat itu juga memperluaskan alat bagi menangani buli siber dan gangguan dalam talian.

Salah satu ciri tersebut ialah 'Hidden Words' yang secara automatik menapis perkataan, kata kesat dan emoji yang berpotensi menyinggung dalam pelbagai bahasa. Pengguna boleh menyesuaikan senarai itu dengan menambah perkataan atau frasa tambahan yang ingin disekat.

Chua turut berkata pengguna remaja tidak dibenarkan melakukan siaran langsung. Satu alat pengesanan imej bogel pada peranti juga akan menapis mesej yang mengandungi imej berunsur lucah secara automatik.

Meta menggunakan pendekatan berlapis untuk mengesahkan umur pengguna. Individu perlu menyatakan umur ketika mendaftar akaun dan pengguna juga boleh melaporkan akaun yang disyaki dimiliki oleh individu bawah umur.

Syarikat itu turut bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti akaun yang mungkin dimiliki oleh golongan bawah umur.

"Kami telah melabur dalam sistem AI yang boleh menganggarkan sama ada seseorang itu berkemungkinan berumur bawah 18 tahun atau melebihi 18 tahun," kata Chua.

Video Terkini

Berita Berkaitan