KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan memecat atau mengambil tindakan disiplin terhadap ahli BERSATU bukan berada di bawah bidang kuasanya sebagai presiden parti, sebaliknya dikendalikan Lembaga Disiplin parti itu.
Beliau berkata tindakan termasuk penggantungan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dibuat melalui proses yang ditetapkan parti selepas Lembaga Disiplin meneliti kes berkenaan serta mendengar pembelaan daripada pihak terbabit.
"Apa juga tindakan yang diambil adalah kerana terdapat pelanggaran, sama ada terhadap peraturan atau perlembagaan parti.
"Proses itu dikendalikan oleh Lembaga Disiplin berdasarkan laporan lengkap.
"Individu yang terbabit juga diberi ruang dan peluang untuk membela diri sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu hari ini.
Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kiandee yang mempertikaikan penggantungan berkenaan serta mendakwa ahli yang kekal dalam BERSATU hanyalah 'pak turut' kepada presiden parti.
"Itu pandangan beliau. Mungkin beliau berasa kecewa dan telah menyuarakan pelbagai perkara.
"Namun BERSATU adalah parti yang mengamalkan demokrasi. Ahli mempunyai hak untuk bersuara, tetapi ia perlu berpandukan kepada peraturan dan perlembagaan parti.
"Saya tahu asas beliau berkata demikian, tetapi perkara seperti menamatkan keahlian bukan tugas saya. Itu adalah urusan Lembaga Disiplin," katanya.
Muhyiddin berkata tindakan disiplin perlu diambil sekiranya terdapat ahli yang melanggar peraturan parti.
"Jika terdapat pelanggaran, sama ada terhadap peraturan atau perlembagaan, kita tidak boleh membiarkannya begitu sahaja," katanya.
Terdahulu, Kiandee yang juga Naib Presiden BERSATU digantung keahliannya daripada parti itu selama dua penggal pilihan raya berkuat kuasa serta-merta.
Menurut sepucuk surat yang dikongsi Kiandee menerusi akaun Facebooknya, beliau didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta kod etika dan tata kelakuan ahli.
Dalam hantaran itu, Kiandee turut mempersoalkan tindakan berkenaan dengan menyatakan keputusan menggantungnya hanya mengukuhkan persepsi bahawa Lembaga Disiplin parti kini digunakan sebagai alat politik bagi melindungi presiden serta sekumpulan kecil individu di sekelilingnya.
























