BH Online
Ringkasan Berita

'Pasang CCTV untuk keselamatan, terkejut nampak gajah lalu tepi rumah' - Penduduk

BESUT: Tindakan seorang penduduk kampung memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan rumahnya berjaya mengesan kehadiran seekor gajah liar yang melalui bahagian tepi rumahnya.
'Pasang CCTV untuk keselamatan, terkejut nampak gajah lalu tepi rumah' - Penduduk

Mohd Noor menunjukkan rakaman CCTV yang berjaya mengesan seekor gajah liar melalui tepi rumahnya di Kampung Tasek, Pasir Akar, Besut. NSTP/ Nurul Fatihah Sulaini

BESUT: Tindakan seorang penduduk kampung memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan rumahnya berjaya mengesan kehadiran seekor gajah liar yang melalui bahagian tepi rumahnya.

Peniaga, Mohd Noor Majid, 62, berkata dua CCTV dipasang di bahagian depan dan sisi rumahnya sejak dua hari lalu untuk tujuan keselamatan, namun dia terkejut melihat kemunculan seekor gajah melalui kawasan rumahnya selepas memeriksa semula rakaman CCTV berkenaan.

"Ketika berehat di rumah bersama isteri dan dua anak, saya terdengar bunyi bising di luar rumah kira-kira jam 10 malam tadi.

"Apabila buka pintu, saya lihat kawasan depan rumah dipenuhi kenderaan dan orang ramai berjalan menuju ke kawasan kebun sawit yang terletak di bahagian belakang rumah.

"Ketika itu, saya dimaklumkan ada seekor gajah berkeliaran di kawasan itu dan dalam pemantauan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Apabila periksa CCTV, saya terkejut kerana gajah itu lalu di tepi rumah saya sebelum itu," katanya ditemui di Kampung Tasek, Pasir Akar, di sini, hari ini.

Mohd Noor berkata, sepanjang tinggal di kampung itu lebih 60 tahun lalu, ini kali pertama gajah berkeliaran di kawasan rumahnya.

"Gajah itu mungkin mahu melintasi jalan depan rumah untuk ke kawasan semak berhampiran.

"Namun, bila melihat ramai orang berada di kawasan itu, ia kemudian berpatah balik dan masuk ke kawasan kebun sawit yang terletak berhampiran rumah ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri, Dennis Ten Choon Yung, berkata gajah liar yang dikesan di kampung itu sejak Khamis lalu berjaya ditangkap hari ini.

Beliau berkata, gajah jantan itu ditangkap dalam kebun kelapa sawit tidak jauh dari kawasan penempatan penduduk.

"Gajah liar itu mendatangkan ancaman keselamatan kepada orang kampung sekitar Keruak dan Kampung Pasir Akar.

"Jadi, satu operasi dijalankan bermula tarikh terima aduan pada Khamis lalu dan hari ini berjaya menangkap haiwan itu.

"Pemantauan berterusan di lokasi tangkapan akan dijalankan sehingga operasi pemindahan gajah itu dilakukan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan