NIBONG TEBAL: Polis sedang meneliti semua sudut bagi melengkapkan siasatan kes cubaan bunuh terhadap seorang lelaki yang cedera ditembak di hadapan premis kawasan Perniagaan Seri Tambun dekat Simpang Ampat, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, 37, dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata mangsa mengalami kecederaan pada lengan kanan.
"Siasatan di lokasi dijalankan dan beberapa bahan bukti ditemui bagi membantu siasatan.
"Polis sedang meneliti semua sudut dan kita masih menyiasat motif sebenar kejadian.
"Oleh itu, semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya melalui kenyataan.
Jay January berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Rizal Abd Rashid di talian 019-8282212 atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.






















