KOTA BHARU: Taktik licik sindiket penyeludupan dengan menggunakan lori yang ditutup sepenuhnya bagi menyembunyikan muatan 10 lembu seludup gagal selepas dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Darul Naim, di sini, pagi tadi.
Rampasan jam 9 pagi itu dilakukan pasukan khas Batalion 7 menerusi Op Taring Wawasan selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit menemui 10 lembu seludup.
Katanya, pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit berkaitan muatan dibawa dan lembu terbabit dipercayai diseludup masuk dari Thailand menggunakan pangkalan haram.
"Modus operandi sindiket dipercayai menggunakan lori ditutup sepenuhnya bagi menyembunyikan muatan lembu daripada dikesan pihak berkuasa.
"Siasatan mendapati lembu berkenaan dibawa masuk melalui pangkalan haram Kertas dengan upah yang diterima pemandu lori adalah RM250 bagi setiap penghantaran.
"Susulan itu kita menahan pemandu lori berusia 27 tahun untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan keseluruhan termasuk lembu dan lori dianggarkan bernilai lebih RM300,000," katanya.
Beliau berkata, kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk disiasat mengikut
Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.
"Kejayaan ini hasil risikan serta rondaan berterusan pasukan khas Batalion 7 PGA yang berjaya memutuskan rantaian penyeludupan ternakan di kawasan sempadan dan menghalang kemasukan haiwan tanpa permit yang boleh menjejaskan biosekuriti negara.
"Kerjasama strategik antara PDRM (PGA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan akan terus diperkukuhkan bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta membanteras aktiviti penyeludupan ternakan di negeri ini," katanya.
























