BH Online
Ringkasan Berita

PRN Negeri Sembilan: Polis siasat video dakwa istana dikuasai parti politik

SEREMBAN: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung klip video memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kenyataan bahawa institusi istana kini dikuasai parti politik.
PRN Negeri Sembilan: Polis siasat video dakwa istana dikuasai parti politik

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung klip video memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kenyataan bahawa institusi istana kini dikuasai parti politik.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4a(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Polis Negeri Sembilan mengesahkan menerima laporan berhubung satu rakaman video yang dimuat naik melalui aplikasi TikTok.

"Ia didakwa mengandungi kenyataan yang memberi gambaran bahawa institusi diraja Negeri Sembilan dikuasai sebuah parti politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata, siasatan sedang dijalankan bagi meneliti keseluruhan kandungan video serta konteks ucapan berkenaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kandungan itu sehingga boleh

menjejaskan siasatan dan ketenteraman awam.

"Polis sekali lagi mengingatkan semua pihak supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab serta mengelakkan sebarang kenyataan yang menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) sehingga boleh menimbulkan keresahan atau ketegangan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Istana Negeri Sembilan hari ini meminta semua parti politik supaya tidak mengaitkan institusi itu dalam ceramah dan kempen PRN Negeri Sembilan Ke-16.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, dalam kenyataan berkata, Istana Negeri Sembilan menegaskan, institusi diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terbabit dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.

Istana Negeri Sembilan turut menasihatkan semua calon parti yang bertanding mengelak daripada memainkan isu 3R dan sentiasa berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan