SIMPANG AMPAT: Seorang wanita langsung tidak menyangka bunyi yang disangkakan tayar treler meletup, sebenarnya berpunca daripada beberapa das tembakan yang dilepaskan.
Waniat itu yang enggan namanya didedahkan berkata ketika itu dia berada di kaunter pembayaran di kedai makan bersama beberapa pekerja sebelum bunyi itu kedengaran kira-kira jam 10 pagi.
"Kami ingat bunyi itu datang daripada tayar lori atau treler yang meletup kerana kenderaan berat memang kerap melalui jalan ini.
"Beberapa ketika kemudian, seorang lelaki tiba-tiba berlari masuk ke dalam kedai. Ketika itulah kami sedar berlaku kejadian tembakan di luar," katanya ketika ditemui.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau cedera ditembak di luar deretan rumah kedai di Jalan Perniagaan Seri Tambun di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi selepas mangsa dilaporkan selesai bersenam di sebuah gimnasium dan singgah di sebuah kedai serbaneka dalam bangunan yang sama untuk membeli telur.
Menurut wanita itu lagi, dia tidak melihat sendiri suspek melepaskan tembakan kerana dia dan beberapa pekerja segera menyelamatkan diri selepas melihat seorang lelaki memasuki premis sambil memegang pistol.
"Sebaik nampak dia bawa pistol, kami semua terus meniarap dan bersembunyi. Kami hanya bangun selepas keadaan kembali senyap dan tiada lagi bunyi tembakan.
"Barulah kami sedar seorang lelaki telah cedera," katanya.

Katanya lagi, mangsa bukan pelanggan kedai makannya, sebaliknya melarikan diri dari sebuah premis berhampiran sebelum memasuki restoran itu untuk mendapatkan perlindungan.
Wanita itu turut bersyukur kerana restoran terbabit tidak dipenuhi pelanggan ketika kejadian berlaku memandangkan kebanyakan pelanggan yang menikmati sarapan sudah pun beredar ke tempat kerja.
"Mujur tidak ramai pelanggan ketika itu. Jika kejadian ini berlaku lebih awal, keadaan mungkin menjadi jauh lebih huru-hara," katanya.
Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

















![[VIDEO] Papan tanda harga stesen minyak tepi lebuh raya di Sungai Besi terbakar](/api/media/file/bhpapang_BHfield_image_listing_featured.var_1785168857.jpg)






