BH Online
Ringkasan Berita

128 motosikal disita dalam operasi di Bintulu, 340 saman dikeluarkan

BINTULU: Sejumlah 128 motosikal disita, manakala 340 saman dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu (Op Motosikal) dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di sekitar Jalan Jambatan Tun Taib Mahmud, awal pagi Ahad.
128 motosikal disita dalam operasi di Bintulu, 340 saman dikeluarkan

Penunggang motosikal ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di Bintulu. - Foto ihsan polis

BINTULU: Sejumlah 128 motosikal disita, manakala 340 saman dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu (Op Motosikal) dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di sekitar Jalan Jambatan Tun Taib Mahmud, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, operasi bermula 11 malam Sabtu hingga 5 pagi Ahad itu turut membabitkan pegawai dan anggota daripada beberapa cawangan IPD Bintulu bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap pelbagai kesalahan lalu lintas melibatkan motosikal.

"Antara kesalahan paling banyak ialah pengubahsuaian motosikal tidak mengikut spesifikasi membabitkan 178 kes, penggunaan ekzos diubah suai (56 kes), cermin sisi tidak mematuhi spesifikasi (37 kes) dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (37 kes)," katanya.

Polis turut mengesan kesalahan lain membabitkan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans.

Menurutnya, semua 128 motosikal terbabit disita bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut mengingatkan penunggang motosikal supaya mematuhi undang-undang jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan tidak melakukan pengubahsuaian yang menyalahi peraturan.

Video Terkini

Berita Berkaitan