KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas hampir 80,000 batang rokok seludup menerusi serbuan di sebuah premis di Lundang, di sini, awal pagi tadi.
Rampasan dilakukan Batalion 7 menerusi Ops Taring Wawasan jam 3 pagi itu turut menahan seorang lelaki berusia 26 tahun.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata serbuan dilakukan di premis berkenaan hasil risikan yang dilakukan pihaknya.
Katanya, menerusi premis terbabit, pihaknya menemui 75,000 batang rokok putih dan 4,800 batang rokok kretek yang diseludup.
"Kita turut menahan seorang lelaki yang juga pekerja premis berkenaan untuk siasatan lanjut. Suspek mendakwa bekerja di premis berkenaan dengan bayaran gaji RM1,200 sebulan.
"Suspek turut memaklumkan rokok terbabit dijual secara runcit kepada penduduk setempat di sekitar kawasan berkenaan dan segala urusan bekalan rokok diuruskan oleh pemilik premis itu," katanya.
Beliau berkata, nilai rampasan rokok berkenaan lebih RM150,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 (Akta 235).
Katanya, risikan dan pemantauan secara berterusan akan dilaksanakan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran serta mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang terbabit.
























