KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap 12 pegawai dan anggota polis yang disyaki terbabit dalam kes pemerasan membabitkan seorang warga asing dengan nilai RM2 juta.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid, berkata pembukaan kertas siasatan itu dibuat selari siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Katanya, siasatan JIPS akan memberi tumpuan terhadap aspek integriti bagi mengenal pasti sama ada wujud pelanggaran tatakelakuan dalam kalangan pegawai dan anggota terbabit berdasarkan hasil siasatan JSJ.
"Siasatan JIPS memberi tumpuan terhadap aspek integriti sekiranya wujud pelanggaran tatakelakuan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993" katanya kepada BH hari ini.
Beliau berkata, JIPS turut meneliti elemen kelemahan penyeliaan dan kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa, pelanggaran etika atau salah laku yang boleh menjejaskan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengulas tindakan lanjut terhadap pegawai dan anggota terbabit, Aida berkata keputusan untuk tahan kerja akan dipertimbangkan berdasarkan perkembangan siasatan kes pihak JSJ dan JIPS selaras dengan peruntukan peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan pantas diambil termasuk penahanan dan siasatan terhadap anggota terbabit menunjukkan komitmen pasukan itu dalam memastikan integriti terus dipelihara.
Semalam media melaporkan polis sedang menyiasat 12 pegawai dan anggota yang didakwa memeras ugut seorang warga asing sebanyak RM2 juta.
Mangsa kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, sekali gus membuka siasatan dalaman terhadap kumpulan terbabit.
Menurut sumber, kumpulan berkenaan dipercayai menuntut RM2 juta daripada mangsa namun mangsa hanya mampu membayar sebahagian daripada jumlah yang diminta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan sedang disiasat.

















![[VIDEO] Papan tanda harga stesen minyak tepi lebuh raya di Sungai Besi terbakar](/api/media/file/bhpapang_BHfield_image_listing_featured.var_1785168857.jpg)






