KUALA LUMPUR: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, beliau memberikan sumbangan RM19.5 juta kepada parti BERSATU bagi membantu syarikat milik adiknya mendapatkan projek Pembinaan Jalan Pulau Indah di bawah program Jana Wibawa.
Pengarah Urusan Mamfor Sdn Bhd (MFSB), Shahradzi Shamsuddin, 44, berkata sumbangan yang diberikan itu adalah di atas permintaan seorang ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff yang menghubunginya pada April dan Mei 2021.
Menurut Shahradzi, ia berikutan Azman yang juga Pengarah Urusan KCJ Engineering Sdn Bhd akan membantu syarikat Sutracom Sdn Bhd (SSB) milik adiknya, Shahrin untuk mendapatkan projek berkenaan.
Saksi pendakwaan ke-20 itu yang membacakan pernyataan saksi berkata, beliau menghubungi Azman pada Mei 2021 untuk meminta bantuan bagi urusan projek SSB di Kementerian Kerja Raya kerana SSB mendapat jemputan pra-kelayakan dari Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Saya meminta Datuk Azman tengok-tengokkan projek yang diminta oleh SSB. Pada April dan Mei 2021, Datuk Azman menghubungi saya dan meminta membuat sumbangan wang kepada BERSATU kerana Datuk Azman akan membantu syarikat SSB mendapatkan projek itu.
"Saya sahkan jumlah saya sumbangkan kepada BERSATU sebanyak RM19.5 juta…Saya meminjam daripada Majulia Sdn Bhd (MSB) milik ibu saya sebanyak RM7 juta lebih dan SSB sebanyak RM13.8 juta. Ini sumbangan MFSB kepada BERSATU atas permintaan Datuk Azman," katanya.
Shahradzi berkata, beliau menyerahkan sendiri cek di kaunter penyerahan pejabat BERSATU di Petaling Jaya dan penerimanya hanyalah kakitangan parti itu.
Katanya, beliau tidak pernah menyerahkan cek kepada mana-mana pemimpin BERSATU.
Saksi itu berkata , daripada RM19.5 juta, beliau menyumbang RM10.5 juta sebelum SSB menerima Surat Setuju Terima (SST) manakala bakinya RM9 juta lagi disumbangkan selepas menerima SST.
Shahradzi berkata, Azman tidak menetapkan nilai atau peratusan sumbangan, tetapi sebagai seorang ahli perniagaan, beliau menganggarkan sumbangan yang mampu diberikan adalah sebanyak tiga hingga empat peratus dari nilai kontrak yang diperolehi.
"Pada Februari 2022, SSB menghantar tender kepada JKR. Nilai tender yang dihantar adalah RM605,217,790.00 dan JKR mengeluarkan SST pada Oktober 2022 kepada syarikat dengan nilai projek RM605,217,790.00.
"Ia selepas Shahrin memaklumkan kepada saya bahawa SSB berjaya mendapat SST,"katanya.
Shahradzi kemudian dikemuka soalan tambahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, sama ada wang RM19.5 juta itu derma, imbuhan atau balasan, yang dijawab saksi, "Ia seperti dalam pernyataan saksi saya, ia adalah sumbangan."
Saksi itu turut mengakui bahawa wang RM19.5 juta adalah jumlah yang besar dan beliau tidak pernah memberikan sumbangan kepada parti politik lain.
Wan Shaharuddin:Adakah sumbangan dalam pernyataan saksi anda adalah satu derma atau balasan?
Shahradzi: Balasan.
Wan Shaharuddin: Jika Datuk Azman tidak meminta anda memberi sumbangan RM19.5 juta adakah anda sumbangkan?.
Shahradzi: Tidak.
Wan Shaharuddin: Jika Datuk Azman tidak minta anda sumbangkan, adakah anda akan sumbangkan walaupun RM100?
Shahradzi: Tidak
Shahradzi berkata sekiranya RM19.5 juta ini tidak disumbangkan kepada BERSATU, wang itu akan digunakan untuk kos operasi (syarikat), simpanan, membeli aset dan menyelesaikan hutang syarikatnya.
Shahradzi berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
Terdahulu, Shahradzi berkata, beliau menyediakan enam Surat Minat untuk menyertai projek dengan meminjam enam lesen syarikat kontraktor milik adik dan kenalannya selepas mendapat persetujuan daripada pemilik syarikat berkenaan kerana syarikatnya tidak mempunyai lesen dan keupayaan yang mencukupi.
Syarikat berkenaan ialah Multi Skilled Engineering Sdn Bhd, Majulia Sdn Bhd, ANR Venturs Sdn Bhd, Sejagat Bakti Sdn Bhd, Smart Reliance Sdn Bhd dan Sutracom Sdn Bhd.
Saksi itu berkata, Surat Minat itu dihantar kepada Muhyiddin bagi mendapatkan sokongan beliau selaku Perdana Menteri ketika itu untuk menyertai tender pra kelayakan pembinaan untuk projek berkenaan.
Ketika disoal balas peguam bela, Chetan Jethwani yang mewakili yang mewakili Muhyiddin, Shahradzi berkata, beliau tidak tahu kenapa sumbangan itu diberikan kepada BERSATU.
Disoal lanjut sama ada beliau mengetahui BERSATU, pegawai BERSATU atau Ahli Majlis Tertinggi parti yang meminta sumbangan itu, Shahradzi menjawab, "Saya tidak tahu."
Saksi itu juga berkata, beliau tidak mengetahui sama ada Muhyiddin ada meminta sumbangan dan saksi itu menjawab tidak tahu.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden BERSATU, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman bagi parti politik berkenaan.
Beliau turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik BERSATU.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.
























