GOMBAK: Keluarga rakyat Malaysia yang maut selepas ditikam di Korea Selatan, merayu kerajaan membantu mempercepat proses membawa pulang jenazah ke tanah air untuk dikebumikan.
Mangsa, Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, dilaporkan menetap dan bekerja di Korea Selatan sejak kira-kira tujuh tahun lalu sebelum maut selepas dipercayai cuba membantu rakannya yang diserang sekumpulan lelaki.
Ibunya, Zulfah Fadliani, 47, berkata keluarga berharap pihak berkuasa, khususnya Kedutaan Malaysia di Seoul dan Kementerian Luar Wisma Putra, terus membantu melengkapkan segala urusan dokumentasi serta proses penghantaran pulang jenazah anaknya secepat mungkin.
"Kami hanya mahu bawa pulang anak kami. Kami berharap kerajaan dapat bantu permudahkan dan mempercepat segala urusan supaya dia dapat kembali ke Malaysia untuk dikebumikan," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini, hari ini.
Zulfah berkata, keluarga pada mulanya bimbang dengan kos membawa pulang jenazah yang dianggarkan mencecah puluhan ribu ringgit, namun isteri Allahyarham, Nurcahaya Ruslan, bertegas mahu suaminya dikebumikan di Malaysia dan menolak cadangan supaya dikebumikan atau dibakar di Korea Selatan.
"Dia mahu suaminya dikebumikan berhampiran keluarga di tanah air. Kami amat berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan rakan-rakan Ahmad Shah yang menghulurkan sumbangan bagi membantu membawa pulang jenazah serta memberikan sokongan kepada keluarga ketika melalui saat sukar ini.
"Kami juga menghargai bantuan Kedutaan Malaysia, Wisma Putra dan Bahagian Konsular yang bertindak pantas membantu urusan laporan bedah siasat, dokumentasi serta prosedur lain," katanya.
Bapa mangsa, Ahmad Ros Abidin, 55, berkata beliau berharap pihak berkuasa di Korea Selatan dapat mengenal pasti identiti pelaku-pelaku yang bertanggungjawab dalam kes pembunuhan anaknya.
"Mungkin pihak berkuasa di sana (Korea) dapat mengenal pasti saksi-saksi mata yang berada di lokasi kejadian termasuk mendapatkan maklumat dari menantu saya, Nurcahaya Ruslan dan seterusnya membawa pelakunya ke muka pengadilan.
"Saya juga berharap pihak konsulat dan Kedutaan Malaysia di sana, membantu mempermudahkan urusan membawa balik jenazah.
"Setakat ini saya sudah persiapkan segala urusan pengebumian di sini, di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Tasik Puteri, namun belum dapat mengetahui tarikh sebenar jenazah anaknya dapat dibawa pulang," katanya.
Ahmad Ros, yang juga pemandu lori turut berkongsi hasratnya ingin membawa keluarga termasuk Ahmad Shah dan isteri untuk menunaikan ibadah Umrah di Tanah Suci Makkah, Disember ini, namun segala perancangan itu terhalang apabila kejadian ini berlaku.
"Saya merancang untuk mengeluarkan wang dari simpanan KWSP, pertengahan tahun ini dalam usia 55 tahun, bagi tujuan membawa keluarga menunaikan Umrah, namun nampaknya saya mungkin akan pergi berdua sahaja bersama isteri.
"Saya reda, segala ini adalah ketentuan-Nya, mungkin ada hikmah lain yang akan saya peroleh," katanya.
Mengulas keperibadian anaknya, Ahmad Ros berkata, Allahyarham pernah membuat kejutan dengan membelikannya sebuah kereta jenis BMW E90 hasil pendapatan diperoleh di Korea.
"Masa itu, dia hubungi dan menyuruh saya pergi ke satu tempat jualan kereta sebelum saya dikejutkan dengan hadiah sebuah kereta yang sudah dibayar sepenuhnya.
"Hari tu saya benar-benar sebak dan tidak menyangka dia begitu ingin memberikan sesuatu yang istimewa kepada saya sedangkan segala hal dan perkara hanya dikongsikan kepada ibunya. Biasalah, dia lebih manja dengan ibunya," katanya.

















![[VIDEO] Papan tanda harga stesen minyak tepi lebuh raya di Sungai Besi terbakar](/api/media/file/bhpapang_BHfield_image_listing_featured.var_1785168857.jpg)






