KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita pelbagai peralatan muzik dan mengeluarkan kompaun terhadap pusat hiburan dalam operasi bersepadu Ops TEBAH yang diadakan bermula malam Sabtu hingga awal pagi semalam.
Operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu diadakan sekitar Jalan Telawi, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Imbi, Bukit Bintang.
DBKL menerusi hantaran di Facebook berkata, sebanyak lima premis yang menjalankan dan mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen serta langgar syarat lesen yang dikeluarkan diserbu dan diperiksa.
Katanya, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan ke atas individu dan pengunjung yang hadir di pusat hiburan berkenaan.
"Hasil daripada pemeriksaan tersebut, DBKL melaksanakan tiga tindakan sitaan terhadap pelbagai barangan peralatan muzik dan mengeluarkan 10 notis kompaun ke atas premis berkenaan," katanya.
DBKL berkata, kompaun yang dikeluarkan adalah kerana pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen hiburan bagi penganjuran aktiviti hiburan, melantik pembantu warga asing tanpa permit sah.
Menjalankan aktiviti perniagaan selain dalam lesen, pengendali tiada suntikan typhoid serta membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis hiburan menerusi kesalahan di bawah UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Kaedah-Kaedah Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1993 dan Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.
"Semua peralatan dan barangan muzik yang dikenakan tindakan sita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL untuk tindakan rekod dan dokumentasi," katanya.
DBKL berkata, dalam operasi itu pihak AADK menahan dan membawa lima individu ke ibu pejabat AADK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Katanya, ia susulan keputusan saringan air kencing mereka positif bahan terlarang menerusi Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Selain itu, JKDM turut mengeluarkan dua notis kepada pemilik premis hiburan untuk hadir ke pejabat kerana melanggar peraturan eksais dan menjual secara runcit likuor yang memabukkan tanpa lesen di bawah Akta Eksais 1976.
"Pihak JAWI pula mengeluarkan 52 surat notis perintah hadir untuk memberi keterangan kepada pengunjung kelab hiburan yang beragama Islam berkaitan meminum minuman yang memabukkan (arak) bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997," katanya.
DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
Katanya, orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang boleh ke https://adukl.dbkl.gov.my/.
























