JOHOR BAHRU: Jodoh seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang gunting rambut bersama pasangannya hanya mampu bertahan dua bulan apabila isterinya meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas di Pantai Lido, di sini, petang semalam.
Menerusi beberapa perkongsian ahli keluarga dan kenalan pasangan itu menerusi Facebook, kejadian berlaku selepas pasangan itu melawat kenalan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Kejadian itu juga didakwa berpunca dengan aktiviti lumba haram hingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Malah, turut dikongsi gambar menyayatkan hati suami mangsa sebak dengan pemergian isteri serta memeluknya di lokasi kejadian.
Difahamkan, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada pertengahan Mei lalu.
Allahyarham Nur Aisyah Mohd Amin dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Dabong, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei, berkata kejadian berlaku jam 7.50 malam di Kilometer 2, Jalan Skudai Pantai Lido menghala ke Skudai.
Beliau berkata, kejadian membabitkan empat kenderaan iaitu tiga motosikal dan sebuah kereta.
"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang seorang lelaki tempatan bekerja sebagai tukang gunting rambut bersama isterinya yang bekerja sebagai operator kilang membuat pusingan U menghala ke Skudai.
"Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki pasangan masing-masing berusia 25 tahun itu cuba menyelit di antara kenderaan. Bagaimanapun, secara tiba-tiba mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal jenis Yamaha Y125 ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.
"Ia mengakibatkan pasangan itu hilang kawalan hingga terbabas ke lorong kiri. Isteri penunggang motosikal terjatuh di tengah jalan, manakala lelaki itu pula berguling ke bahu kiri jalan.
"Isteri lelaki itu cedera di bahagian kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian. Mayat mangsa dibawa ke unit forensik HSA untuk bedah siasat," katanya.
Belia berkata, siasatan juga mendapati kejadian tiada kaitan dengan aktiviti lumba haram.
























