KUANTAN: Seorang kontraktor kerugian RM122,552 selepas terpedaya dengan tawaran tender tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata berdasarkan laporan, lelaki berusia 46 tahun itu menerima mesej daripada individu yang mengaku sebagai kakitangan di sebuah politeknik di daerah ini bulan ini.
Katanya, individu terbabit menawarkan peluang sebut harga bagi pembekalan janakuasa kepada syarikat milik mangsa.
"Bagi meyakinkan mangsa, suspek mengemukakan dokumen surat tawaran (LO) serta memperkenalkan sebuah syarikat pembekal barangan.
"Mangsa kemudiannya membuat beberapa transaksi pembayaran kepada akaun bank yang diberikan suspek membabitkan jumlah keseluruhan berjumlah RM122,552 bagi tujuan pembelian barangan yang kononnya diperlukan untuk melaksanakan tender itu.
"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas hadir ke politeknik berkenaan untuk mendapatkan pengesahan dan dimaklumkan bahawa tiada sebarang pesanan kerajaan atau tawaran sebut harga dikeluarkan politeknik itu.
"Mangsa kemudiannya gagal menghubungi suspek sebelum tampil membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kes itu, beliau menasihati orang ramai sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran tender atau sebut harga yang diterima melalui aplikasi pesanan ringkas, media sosial atau panggilan telefon.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan agensi atau jabatan yang berkaitan bagi mengesahkan kesahihan sesuatu tawaran, tidak membuat sebarang pembayaran kepada akaun yang meragukan serta mendapatkan pengesahan melalui saluran rasmi sebelum membuat sebarang transaksi.
"Sekiranya mempunyai sebarang keraguan atau menjadi mangsa penipuan, orang ramai disaran segera membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya.











_1785128370.jpg)












