KUALA TERENGGANU: Polis menahan tujuh lelaki tempatan dan memeriksa 415 kenderaan menerusi Op Lejang Khas yang dilaksanakan di seluruh negeri selama seminggu bagi membanteras kegiatan curi kenderaan serta jenayah berkaitan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Terengganu itu bermula 19 hingga 25 Julai lalu dengan pembabitan 60 pegawai dan anggota.
Katanya, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mengesan kenderaan curi, merampas barangan kes serta memastikan premis berkaitan seperti bengkel dan kedai alat ganti tidak terbabit dalam urusan jual beli barangan curi.
"Sepanjang operasi, sebanyak 66 premis termasuk bengkel dan kedai barangan terpakai serta alat ganti diperiksa.
"Seramai tujuh lelaki daripada 185 individu yang diperiksa membabitkan 169 lelaki dan 16 wanita tempatan berusia antara 16 hingga 43 tahun ditahan kerana tas pelbagai kesalahan jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebanyak 415 kenderaan diperiksa iaitu 383 motosikal dan 32 kereta, namun pemeriksaan mendapati tiada kenderaan yang mempunyai rekod dilaporkan hilang.
Mohd Khairi berkata, hasil operasi itu, empat kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan mengenai pemilikan barangan dan tiga kes di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan curi kenderaan.
Katanya, polis turut menyita beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan curi kenderaan, termasuk motosikal, komponen enjin serta topi keledar.
























