BH Online
Ringkasan Berita

Benar ikat jamin pemandu rempuh Jafni hingga mati penganiayaan buat keluarga - Kakak

KUALA SELANGOR: Tindakan mahkamah membenarkan ikat jamin ke atas lelaki warga asing yang merempuh Muhamad Jafni Baharudin, 29, sehingga maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, dekat Puncak Alam Selasa lalu disifatkan satu penganiayaan kepada keluarga mangsa.
Benar ikat jamin pemandu rempuh Jafni hingga mati penganiayaan buat keluarga - Kakak

Nur Hidayah menunjukkan foto terakhirnya bersama Allahyarham Jafni. - NSTP/ Amirul Aiman Hamsuddin

KUALA SELANGOR: Tindakan mahkamah membenarkan ikat jamin ke atas lelaki warga asing yang merempuh Muhamad Jafni Baharudin, 29, sehingga maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, dekat Puncak Alam Selasa lalu disifatkan satu penganiayaan kepada keluarga mangsa.

Kakak Allahyarham, Nur Hidayah, 35, mengakui perkembangan itu sukar diterima apatah lagi alasan diberi tertuduh baru menimang cahaya mata.

"Kami tak boleh terima... sukar untuk memaafkan sampai bila-bila kerana arwah 'tulang belakang' keluarga dan banyak berkorban demi kami," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya, di sini hari ini.

Jumaat lalu, seorang pekerja kebun warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhamad Jafni di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, Selasa lalu.

Md Habibullah, 28 bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000.

Video kemalangan turut tular di media sosial.

Nur Hidayah mengakui keluarganya sehingga kini masih terkejut dengan nahas yang menimpa arwah terutama bapanya, Baharudin Othman, 64.

"Semalam ayah meraung dan hampir pitam kerana teringat arwah sehingga berkali-kali memanggil namanya," katanya.

Tambahnya, pihak keluarga sudah melantik peguam bagi menuntut pembelaan selayaknya atas kematian arwah adiknya itu demi keadilan.

"Mohon seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan kami supaya ada satu keputusan yang berpihak kepada arwah.

"Sejak arwah pergi, rasa patah sebelah sayap dan hidup seakan terumbang-ambing. Dia banyak bantu kami walaupun gajinya tidak besar," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan