BH Online
Ringkasan Berita

Imigresen Sabah nafi dakwaan tahanan Filipina mati di depot akibat kesesakan melampau

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen menafikan laporan yang tular di media sosial mendakwa berlaku kesesakan melampau di Depot Tahanan Imigresen di negeri ini sehingga menyebabkan ramai tahanan warga Filipina meninggal dunia.
Imigresen Sabah nafi dakwaan tahanan Filipina mati di depot akibat kesesakan melampau

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof. - Foto fail BERNAMA

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen menafikan laporan yang tular di media sosial mendakwa berlaku kesesakan melampau di Depot Tahanan Imigresen di negeri ini sehingga menyebabkan ramai tahanan warga Filipina meninggal dunia.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata dakwaan itu tidak berasas dan mengelirukan kerana gambar yang tular bukan merujuk kepada mana-mana Depot Tahanan Imigresen di bawah seliaan pihaknya.

"Semua tahanan warga Filipina yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Sabah berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang mereka ke negara asal.

"Sepanjang tempoh tahanan, mereka diberikan layanan dan perlindungan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur operasi yang berkuat kuasa," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata semua tahanan turut menerima kemudahan asas termasuk makanan yang disediakan mengikut jadual serta menu dan keperluan nutrisi diluluskan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata tahanan juga diberi akses kepada rawatan perubatan apabila diperlukan selain keperluan asas lain sepanjang berada di depot tahanan.

Katanya, proses penghantaran pulang warga Filipina melalui laluan kapal dari Sandakan ke Zamboanga yang sebelum ini menjadi laluan utama repatriasi digantung oleh pihak berkuasa negara jiran berkenaan sejak Februari lalu.

"Keadaan itu memberi kesan kepada kelancaran proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal. Bagi memastikan proses repatriasi terus berjalan, Imigresen Sabah menggunakan laluan alternatif iaitu penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao.

"Pelaksanaan penghantaran itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan," katanya.

SH Sitti Saleha berkata pihaknya kekal komited memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan terus terpelihara di samping melaksanakan proses penghantaran pulang mengikut undang-undang serta prosedur ditetapkan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat, gambar dan kandungan yang tidak sahih sehingga boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Video Terkini

Berita Berkaitan