KOTA BHARU: Kehilangan wanita warga emas, Rosnani Mahmood sejak 10 Julai lalu yang sehingga kini masih misteri tidak wajar diambil kesempatan oleh orang ramai, termasuk meminta sumbangan kewangan.
Demikian rayuan anak saudara wanita berusia 62 tahun itu, Wan Hirmanuzi Wan Ibrahim, 48, yang memaklumkan sejak seminggu lalu, ramai individu dari dalam dan luar Kelantan hadir di lokasi kehilangan Rosnani yang kali terakhir terakhir dilihat di Wakaf Stan, Kubang Kerian, di sini.
Menjelang petang sehingga malam, katanya, kelompok individu mula memenuhi kawasan sekitar sungai di Wakaf Stan untuk mencari Rosnani atau mesra dipanggil Mok Ni oleh keluarga.

"Individu pertama yang menghubungi saya dan meminta izin untuk membantu cari Mok Ni adalah dari Perak dan kami sekeluarga memberikan keizinan.
"Selepas itu, semakin lama semakin ramai yang tampil mencari, termasuk dari luar Kelantan sambil membuat siaran langsung dan tidak merujuk kepada kami terlebih dahulu.
"Ada juga yang dilihat seakan mengambil kesempatan apabila membabitkan sumbangan kewangan dari orang ramai. Ingin ditegaskan, semua itu tiada kaitan dengan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui, hari ini.
Wan Hirmanuzi berkata, dia banyak mendapat panggilan dari pelbagai nombor tidak dikenali untuk mengetahui perkembangan Mok Ni, namun tidak dimaklumkan lanjut sama ada mereka mahu membantu mencari atau sekadar bertanya.
Tambahnya, keluarga sangat menghargai bantuan pencarian yang dibuat oleh semua pihak, namun meminta mereka yang ada niat lain atau mengambil kesempatan semata-mata agar menghentikan perbuatan itu.
"Kami sangat hargai bantuan mencari yang dibuat kerana berhari-hari mereka di lokasi tanpa mengira siang atau malam, tapi ada sesetengahnya menyebabkan timbul isu tak elok yang menyebabkan keluarga rasa tak selesa," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Rosnani hilang sejak 10 Julai lalu dan motosikal jenis Modenas Kriss miliknya ditemui tidak jauh dari Sungai Wakaf Stan.
Difahamkan wanita itu dilihat kali terakhir petang 10 Julai oleh seorang pemancing tidak jauh dari sungai terbabit, namun tidak lama kemudian, kelibatnya sudah tiada dan tinggal hanya motosikalnya.
Ahli keluarga memaklumkan Mok Ni mengalami gangguan mistik sejak lebih 10 tahun dan semakin kerap diganggu sebulan kebelakangan ini, malah mendakwa kehilangannya mempunyai kaitan dengan perkara itu.














