KUALA LUMPUR: Empat kontraktor dikompaun menerusi Op Korekan Jalan Awam di ibu negara kerana didapati gagal mematuhi syarat kerja di tapak operasi, semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hantaran di Facebook, memaklumkan operasi dijalankan sekitar Jalan Syed Putra, Jalan Tun Sambathan dan Jalan Taman Setiawangsa bermula jam 10 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam.
"Pemantauan dan pemeriksaan dijalankan bagi melihat kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor semasa pembaikan atau penyelenggaraan, termasuk pemasangan paip, penurapan jalan dan pembaikan longkang.
"Selain itu, ia termasuk kerja utiliti seperti pemasangan atau penyelenggaraan bekalan air, elektrik atau talian telekomunikasi yang gagal mematuhi syarat dan kelulusan kerja di tapak operasi," menurut kenyataan DBKL.
Menurut DBKL, pemeriksaan di lima lokasi membabitkan empat kontraktor dikenakan 12 notis kompaun kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP), antaranya tiada lampu berkelip, tiada pengawal lalu lintas dan merosakkan siar kaki.
"Selain itu, beberapa kontraktor didapati menutup jalan tanpa kebenaran, meletakkan jentera berat berantai, mengangkut bahan binaan menggunakan lori tanpa permit dan menyebabkan kekotoran di laluan awam.
"Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 (4 notis kompaun) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (8 notis kompaun).
"Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengeluarkan enam notis arahan hadir dan mengemukakan maklumat berkaitan kerja-kerja pembinaan tanpa kebenaran serta kelulusan kepada pihak kontraktor," menurut DBKL.
DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa dan sebarang Aduan atau maklum balas boleh disalurkan melalui https://adukl.dbkl.gov.my/.

















![[VIDEO] Papan tanda harga stesen minyak tepi lebuh raya di Sungai Besi terbakar](/api/media/file/bhpapang_BHfield_image_listing_featured.var_1785168857.jpg)






