AMPANG JAYA: "Mujur ketika itu pelanggan tidak tercedera terkena pisau dan gunting yang dicampak dari sebuah pangsapuri ke arah kedai makan saya".
Pemilik restoran makanan laut yang hanya mahu dikenali sebagai Chia, 47, memberitahu ketika kejadian jam 7.20 petang Selasa lalu, dia sedang berniaga di kedainya di Pandan Indah, di sini.
"Saya terkejut dengar suara pelanggan menjerit ketika sedang makan. Selepas memeriksa, saya lihat ada gunting menembusi kanopi. Pelanggan sedang makan hampir dengan tempat gunting itu jatuh, mujur tak cedera.
"Selain gunting, kira-kira lima atau enam bilah pisau juga dilontar dari bangunan pangsapuri dan ditemui di tepi tasik sebelah restoran saya. Saya kemudian memaklumkan kepada pengurusan pangsapuri sebelum buat laporan polis," katanya.
Katanya, pihak pengurusan juga memaklumkan individu yang melakukan perbuatan itu sudah ditahan.
"Sebelum ini pekerja warga asing selalu buang sampah dari pangsapuri ini, tapi ini kali pertama pisau dan gunting dicampak ke bawah seperti ini," katanya.
























