BH Online
Ringkasan Berita

Lelaki ditahan kes serang, ugut penguat kuasa MBI

IPOH: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyerang serta mengugut seorang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bertugas yang sedang mengeluarkan notis kompaun di Jalan Pengkalan Barat 35, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah, berkata lelaki tempatan berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.40 tengah hari bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian itu, beliau berkata, suspek didakwa bertindak agresif dengan cuba melanggar petugas berkenaan menggunakan kenderaan sebelum mengekori mangsa serta menarik bahagian leher bajunya dan membuat ugutan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan ringan kemudian tampil membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas, serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

"Permohonan reman akan dibuat bagi membantu polis melengkapkan siasatan.

"Polis turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menghalang, menyerang atau mengugut penjawat awam ketika menjalankan tugas." katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan