AMPANG: Lima pendaki diselamatkan selepas dilapor tersesat ketika mendaki Bukit Saga Ampang di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 2.15 petang.
Susulan itu sepasukan anggota digerakkan bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah untuk bantuan lanjut.
"Mangsa terdiri empat wanita dan seorang lelaki berusia antara 34 hingga 46 tahun dan mereka berjaya ditemui anggota operasi pada jam 3.55 petang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.




















