IPOH: Ahli keluarga kepada dua pelajar yang ditemui mati di Flat Sungai Pari, dekat Buntong, di sini dikatakan ada mencari mereka di sekitar lokasi beberapa jam sebelum mayat ditemui semalam.
Pengawal keselamatan di kawasan pangsapuri yang sudah dikosongkan itu, R Madesh, 22, berkata abang kepada salah seorang pelajar dilihat datang bersama seorang rakan untuk mencari mangsa kira-kira jam 2.30 petang, sebelum seorang wanita yang juga penjaga kepada salah seorang pelajar itu datang kira-kira sejam kemudian.
Bagaimanapun ketika dua pelajar terbabit ditemui kira-kira jam 5 petang, katanya dia tidak berada di kawasan itu kerana keluar ke kedai dan hanya dimaklumkan mengenai oleh rakan setugas.
"Abang salah seorang mangsa bersama rakan datang dan bertanya sama ada saya nampak dua remaja perempuan masuk sini.... saya cakap tiada.
"Rakan abangnya itu memberitahu ada ternampak dua remaja itu masuk ke kawasan terbabit jam 1.30 petang.
"Saya kemudian membawa mereka untuk mencari sehingga tingkat atas flat, sementara dua lelaki itu menjerit memanggil nama mangsa dari luar blok. Namun tiada sahutan dan dua pelajar itu tidak kelihatan.
"Sejam kemudian seorang wanita yang juga penjaga kepada salah seorang mangsa datang menaiki kereta dalam keadaan menangis dan bertanyakan sama ada saya nampak dua remaja itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Madhesh yang berasal dari Pulau Pinang berkata dia sekali lagi berusaha mencari di kawasan perumahan tinggal itu termasuk naik sehingga tingkat atas.
"Bila penyelia saya, dia marah dan suruh saya turun... kemudian saya keluar sebentar untuk beli minuman.
"Kira-kira jam 5 petang, rakan sekerja telefon beritahu dua remaja itu dijumpai mati dan sebaik tiba, saya lihat orang ramai termasuk keluarga sudah berkerumun berhampiran dua mayat itu," katanya.
Terdahulu, dua pelajar dipercayai terjatuh dari tingkat atas bangunan 15 tingkat rumah pangsa tinggal itu.

















![[VIDEO] Papan tanda harga stesen minyak tepi lebuh raya di Sungai Besi terbakar](/api/media/file/bhpapang_BHfield_image_listing_featured.var_1785168857.jpg)






