KLUANG: Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), semalam menahan seorang wanita dan kekasihnya dalam sebuah rumah ketika suami wanita itu dipercayai sedang menjalani hukuman penjara.
Penahanan wanita berusia 26 tahun bersama teman lelaki berusia 27 tahun dilakukan pada jam 12.40 tengah malam di sebuah rumah dalam daerah ini selepas JAINJ menerima aduan orang awam.
Menurut JAINJ, sebelum tangkapan dibuat, penguat kuasa menyerbu rumah didiami wanita itu dengan pagarnya tertutup namun tidak berkunci.
"Sebaik membuka pagar, penguat kuasa menemukan kereta wanita berkenaan serta motosikal kapcai disyaki kepunyaan kekasihnya.
"Selepas lima minit pintu diketuk, seorang wanita memakai baju T berlengan pendek serta seluar panjang membukanya. Setelah memperkenalkan diri, penguat kuasa masuk ke dalam rumah untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, sebaik membuka semua lampu di tingkat atas, kelihatan seorang lelaki berdiri di hadapan pintu sebuah bilik dengan memakai baju T dan berseluar panjang dalam keadaan ketakutan.
"Pasangan ini mengaku bukan suami isteri dan mereka pasangan kekasih. Lelaki itu masih bujang dan tinggal bersama keluarganya di Kluang.
"Wanita ini pula bekerja di daerah ini dan tinggal berseorangan sejak suaminya dipenjara beberapa bulan lalu dan mereka tiada anak.
"Lelaki itu datang ke rumah wanita terbabit pada jam 10 malam selepas mendapat lampu hijau daripada pasangannya.
"Mereka ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat," katanya.
























