BH Online
Ringkasan Berita

Langgar kereta peronda polis, kenderaan awam di PJ: 2 sahabat ditahan di Gombak

KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan selepas dipercayai melanggar sebuah kereta peronda polis dan dua kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan pasukan keselamatan itu di Petaling Jaya, dekat sini tengah malam tadi.
Langgar kereta peronda polis, kenderaan awam di PJ: 2 sahabat ditahan di Gombak

Tangkap layar video tular kes dua lelaki melanggar kereta peronda polis di Petaling Jaya malam tadi sebelum berjaya ditahan di Gombak. - Video Tular

KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan selepas dipercayai melanggar sebuah kereta peronda polis dan dua kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan pasukan keselamatan itu di Petaling Jaya, dekat sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata kejadian jam 11.57 malam apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPC) Nissan Grand Livina enggan berhenti untuk pemeriksaan di Persiaran Dagang, Sri Damansara.

Kenderaan itu sebaliknya terus dipandu secara berbahaya melalui beberapa laluan hingga dikesan di Jalan Sungai Pusu, Gombak dan ketika cuba ditahan, pemandu bertindak mengundurkan MPV itu sebelum melanggar kereta peronda polis.

Beliau berkata, MPV berkenaan kemudian melanggar dua kenderaan awam yang diparkir di tepi jalan ketika cuba lolos daripada polis.

"Polis kemudian menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an, masing-masing pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek adalah rakan dengan motif mereka melarikan diri masih dalam siasatan, manakala ujian saringan air kencing dua lelaki itu masih dalam proses.

Shamsudin berkata, semakan mendapati suspek pertama mempunyai 23 rekod dadah, empat rekod jenayah dan satu rekod dikehendaki, manakala suspek kedua mempunyai lapan rekod dadah, 10 rekod jenayah dan enam rekod lain-lain kesalahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu.

Shamsudin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau membuat spekulasi berhubung kejadian itu.

Beliau turut meminta mereka yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

Video Terkini

Berita Berkaitan