KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur Pasar Borong Kuala Lumpur melalui Operasi Tindak Khas Khamis lalu, hasil kerjasama pelbagai agensi lain.
Operasi menyasarkan premis perniagaan, aktiviti penjajaan, penglibatan warga negara asing serta binaan struktur tanpa kelulusan, selain kegiatan 'ali baba' lesen, halangan kawasan laluan awam dan lalu lintas sekitar Jalan 1/3a dan Jalan 2/3a, di Pusat Bandar Utara.
DBKL melalui kenyataan di Facebook memaklumkan operasi turut dijalankan terhadap pemandu bukan warganegara termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR).
"Menerusi operasi ini, DBKL mengeluarkan 102 notis kompaun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 81 notis kompaun dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan 104 notis kompaun pelbagai kesalahan lalulintas kepada pemandu dan pemilik kenderaan menerusi Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sitaan turut dilakukan JPJ terhadap tujuh kenderaan motosikal elektrik (EV), manakala DBKL menunda 41 kenderaan yang membuat halangan lalulintas di kawasan awam
"DBKL juga merobohkan 18 unit struktur binaan dibuat pemilik premis perniagaan tanpa kelulusan di hadapan premis dan lorong belakang melibatkan sambungan berbumbung, dinding tambahan, ruangan setor kekal yang gagal mematuhi notis penguatkuasaan yang telah dikeluarkan sebelum ini untuk membuka atau mengosongkan.
"Sejumlah 11 notis penguatkuasaan baharu dikeluarkan ke atas pemilik premis untuk tindakan penguatkuasan selepas ini jika gagal dipatuhi," katanya.

Menerusi pemeriksaan bersama Jabatan Imigresen dan PDRM di sekitar kawasan perniagaan, DBKL mengeluarkan 28 notis kompaun ke atas premis perniagaan yang didapati melanggar syarat lesen dikeluarkan.
Ia melibatkan kegagalan mempamer lesen perniagaan, melantik pembantu warga negara asing tanpa kebenaran, tiada lesen perniagaan, berniaga selain dari yang dilesenkan serta membuat halangan di kaki lima atau siar kaki premis, tiada lesen papan tanda iklan dan lain-lain kesalahan am.
Turut dibuat empat tindakan sita dan pindah barangan serta peralatan perniagaan yang dijalankan oleh warga negara asing di tempat awam.
Tindakan penguatkuasaan dijalankan menerusi kesalahan di bawah Undang-undang kecil (UUK) Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016, UUK Pelesenan Tred, Perniagan Dan Perindustrian (WPKL) 2016UUK Iklan (WPKL) 1992, Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Pelbagai barangan disita, kemudian dipindakan ke Setor Sitaan DBKL untuk rekod dan dokumentasi.
























