SHAH ALAM: Mayat bayi perempuan dibalut kain ditemukan di rumah sampah asrama sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuala Langat, dekat sini, tengah malam tadi.
Penemuan mayat ditinggalkan di rumah sampah blok asrama IPT berkenaan dilaporkan kepada polis kira-kira jam 12.20 tengah malam oleh seorang lelaki tempatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Mohd Radzi, berkata suspek kes berkenaan sudah dikenal pasti.
"Suspek adalah seorang penuntut wanita berusia belasan tahun yang dipercayai ibu bayi berkenaan dan dia sudah ditahan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Akmalrizal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.
























